PELAJAR memakai topeng muka di SK Taman Pasir Putih sebagai langkah berjaga-jaga.
Mohd Sabran Md Sani dan Izlaily Nurul Ain Hussein dan Mahaizura Abd Malik


KUALA LUMPUR: Tiada tempoh khusus untuk orang awam mengelak daripada berada di kawasan yang tercemar dengan gas metana kerana banyak faktor mempengaruhi tempoh masa itu.

Pensyarah Kanan Jabatan Kimia Fakulti Sains Universiti Malaya Dr Choo Yeun Mun berkata, bagi kes biasa orang ramai perlu mengelak berada dalam radius 50 meter dari kawasan tumpahan sekurang-kurangnya dua hari.

“Orang ramai jika terbau sesuatu gas yang ganjil jangan dekati tempat itu dalam lingkungan 50 meter sekurang-kurangnya dua hari untuk memastikan aliran udara bersih kembali.

“Namun, apapun tetap bergantung sepenuhnya kepada luas kawasan dan seberapa tinggi dos tumpahan berlaku mungkin tempoh masa itu boleh menjadi panjang lagi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, keadaan cuaca sangat mempengaruhi kebersihan udara di kawasan tumpahan.

“Jika sisa masih berada dalam sungai atau tebing sungai ada kemungkinan tindak balas kimia berlaku seterusnya menghasilkan metana lagi terutama ketika cuaca panas yang menyebabkan metana berwap.


ANGGOTA Hazmat memandikan murid-murid yang terkena simptom bahan kimia.

“Biasanya metana boleh meruap suhu takat didihnya adalah -182 darjah Celsius yang mudah merebak dalam udara.

“Namun, tahap pencemaran udara di kawasan tumpahan boleh diukur berdasarkan pemantauan Jabatan Alam Sekitar menggunakan sejenis alat dinamakan komponen bahan kimia meruap (VOC),” katanya.

Katanya, gas organik seperti metana hanya boleh dielak dengan pemakaian topeng mulut khas bertapis.

“Untuk gas seperti ini perlukan topeng muka jenis cartridge berikutan topeng mulut biasa hanya boleh menapis zarah kecil saja.

“Gas metana jika terhidu sangat bahaya boleh menyebabkan keracunan dan loya selain membawa kematian.

“Jadi langkah terbaik untuk orang awam hindari kawasan tumpahan untuk tempoh tertentu dan ikuti arahan pihak berkuasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 8:30 AM