WAWA gembira perkahwinannya disulami keindahan walaupun sukar pada awalnya.
Sudirman Mohd Tahir

TARIKH 12 Februari lalu genap 27 tahun usia pelakon kelahiran Lahad Datu, Sabah, Wawa Zainal. Pada usia itu, Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin berasakan hidupnya sudah lengkap ditambah dengan kehadiran suami dan dua anak.

Namun, apa yang menjadi sasaran Wawa selepas ini adalah ingin mengumpul aset iaitu menyediakan rumah buat dua anaknya, Ahmad Fakhruddin Attar, 6, dan Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 4, dan melebarkan empayar perniagaan Wawa Beauty ke beberapa negara Asia.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan apa dimiliki sekarang. Tidak ada apa lagi yang diinginkan sebab saya rasa semuanya sudah lengkap. Pada usia sekarang, saya sudah dapat semua. Cuma, dalam perkahwinan saya berdoa supaya terus diberi kebahagiaan dan limpahan kasih sayang daripada suami.

“Mungkin selepas ini fokus saya adalah kumpul aset iaitu ingin menyediakan rumah bagi setiap anak. Selain itu, saya mahu ada wisma perniagaan sendiri.

“Pada masa sama, tahun ini saya merancang memasarkan produk ke luar negara. Sekarang saya sudah ada stokis di Singapura dan Brunei. Kalau boleh, mahu produk dijual di farmasi atau kedai kosmetik ternama di sana,” kata isteri kepada pelakon Aeril Zafrel ini.

Melengkapi kehidupan Wawa apabila perkahwinan yang dibina sejak tujuh tahun lalu disulami bunga-bunga cinta mereka.

Walaupun pada awal perkahwinan dianggap fasa sukar buat mereka, ia dilalui dengan penuh sabar hingga kekal bertahan.

“Pada awal perkahwinan memang susah. Empat bulan pertama, duit dalam akaun cukup-cukup saja. Kami tidak boleh membazir sebaliknya beli apa yang perlu saja.

“Ketika itu, memang lupakan seketika keinginan diri. Pendek kata, memang kami ‘struggle’. Namun, Allah itu sebaik-baik perancang. “Alhamdulillah, perkahwinan kami dipermudahkan Allah. Satu-satu rezeki diberikan hingga sekarang. Disebabkan itu, saya sentiasa berpegang pada prinsip sabar adalah kunci kepada setiap kejayaan selain perlu berusaha,” katanya.

Anak sulung lambat cakap

Selain kehadiran suami tercinta, perkahwinan dibina juga diserikan dengan dua cahaya mata yang kian membesar.

Namun, siapa sangka anak sulungnya, Attar yang kini berusia enam tahun mengalami masalah ‘delay speech’ atau lambat bercakap.

Namun, Wawa bersyukur dan lega apabila anaknya disahkan bukan pesakit autisme.

“Attar masih belum lancar bercakap tetapi dia sudah menunjukkan banyak perubahan. Selepas hantar dia ke kelas terapi sejak tahun lalu, dari situ saya tengok perubahan dalam dirinya dan ada banyak peningkatan.

“Saya dapat kesan ketika dia berusia tiga tahun. Ketika itu dia hanya bercakap tiga ke empat patah saja dan banyak perkataan yang dia tak boleh cakap.

“Apabila buat pemeriksaan, doktor mengesahkan dia mengalami simptom lambat bercakap tapi bukan autisme. Itu perkara yang paling saya bimbangkan,” katanya.

Lebih menggembirakan Wawa juga apabila guru di sekolah anaknya memaklumkan Attar boleh meneruskan persekolahan di sekolah biasa tahun depan.

“Saya lega dan bersyukur apabila guru beritahu Attar boleh bersekolah di sekolah harian seperti kanak-kanak normal lain. Malah, di sekolah sekarang Attar juga sudah boleh bergaul dengan murid lain.

“Apatah lagi tahun depan dia akan masuk tahun satu. Saya berharap, dia akan terus menunjukkan peningkatan. Selain kelas terapi, saya dan suami juga akan sentiasa meluangkan masa bersamanya dengan mengajak dia bercakap. Bagi saya ini semua penting,” katanya.

Kembang perniagaan

Dalam perkembangan lain, Wawa dan Aeril baru pulang dari Turki bagi urusan perniagaan madu Turki. Mereka bakal menjadi pengedar tunggal produk itu di sini apabila ia mula dipasarkan bulan depan.

“Khasiat madu itu sangat bagus hingga sukar dibuat di sini. Jadi, untuk bawa masuk ke negara kita memang kena ambil dari sana,” katanya.

Selain itu, Wawa berkongsi khabar gembira apabila bakal melancarkan satu lagi produk kosmetik.

“Alhamdulillah, ‘travel kit’ Wawa Cosmetics sudah terjual 10,000 unit dalam tempoh dua hari. Koleksi ini eksklusif dan tidak dikeluarkan lagi. “Cuma, hujung bulan ini satu lagi produk baru akan dilancarkan. Kena tunggu,” katanya.


WAWA dan Aeril baru pulang dari Turki bagi urusan perniagaan madu Turki.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 5:00 AM