ANGGOTA paramedik membantu salah seorang mangsa yang cedera. FOTO Reuters
Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


SEORANG rakyat Malaysia disahkan cedera susulan kejadian tembakan dalam sebuah masjid di tengah Christchurch, New Zealand.

Menurut akaun rasmi Twitter Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Wellington memaklumkan, mangsa terbabit pada masa ini sedang menerima rawatan di hospital.

”Seperti dilaporkan, ada kejadian tembakan di masjid Christchurch jam 1.40 pm hari ini (waktu tempatan).

“Justeru, Pesuruhjaya Tinggi berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat selanjutnya berhubung mangsa terbabit," katanya.

Media antarabangsa melaporkan, seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di dalam sebuah masjid di tengah Christchurch, New Zealand dan dilaporkan beberapa mangsa maut atau cedera, lapor media tempatan.

Tembakan dilepaskan di dalam sebuah masjid di Hagley Park, Christchurch dan polis juga dikerahkan ke sebuah lagi masjid di Linwood.

Sehingga kini polis tidak mengeluarkan kenyataan sama ada kejadian itu berlaku di dalam masjid atau sekitarnya dan tiada kenyataan rasmi mengenai jumlah korban.

Dalam pada itu, rakyat Malaysia yang tinggal di New Zealand khususnya di Christchurch diminta supaya memeriksa keluarga dan rakan masing-masing sekiranya tercedera atau terbabit susulan kejadian berkenaan.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Wellington berkata, mereka boleh menghubungi di talian +64-210440188 atau +64220662118 atau e-mel menerusi mwwellington@kln.gov.my.

Menurutnya, rakyat Malaysia di sana juga dinasihatkan supaya berada di dalam serta mematuhi arahan daripada pihak berkuasa dari masa ke masa.

Berita berkaitan

Periksa rakan dan ahli keluarga di Christchurch

Tembakan dalam masjid di New Zealand

Siar serangan secara langsung

Peluru lintas kepala

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 12:47 PM