TIGA beranak maut dalam kemalangan membabitkan motosikal dan bas dekat simpang Pejabat Tanah di Machang. FOTO Ihsan Pembaca
Siti Nor Hidayatidayu Razali


BAPA dan dua anaknya yang masih kanak-kanak maut dalam kemalangan membabitkan bas dengan motosikal di Kilometer (KM) 1.9, Jalan Machang-Pasir Puteh, dekat simpang Pejabat Tanah di Machang, malam tadi.

Dalam kejadian 9.50 malam itu, mangsa yang membonceng anak lelaki dan perempuan itu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah pada kepala dan badan.

Difahamkan, kemalangan berlaku apabila motosikal yang dinaiki tiga beranak dari Kampung Kolam Abu, Machang itu bergesel dengan bas sebelum mereka terjatuh.

Mangsa kemudian dilanggar lori yang datang dari arah belakang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Asisten Superintendan Mohd Shamsuri Mohd Zain ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Katanya, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Machang.

Katanya, pihaknya masih membuat siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bagaimanapun setakat ini, wartawan Harian Metro di lokasi kejadian masih belum memperoleh butiran lanjut identiti ketiga-tiga mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 1:26 AM