PELAKON Zara Zya sentiasa menjaga disiplin dan tidak pernah menimbulkan masalah dengan pihak produksi. -FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
Ramlah Zainal

BERSANDARKAN bakat dan kerja keras, nama Zara Zya terus bertahan selepas lapan tahun berkecimpung dalam bidang lakonan. Antara drama lakonannya yang memberi impak dan terus diingati ialah Love You Mr Arrogant, Keranamu Anisa dan Tuan Anas Mikael.

Bagi pemilik nama sebenar, Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 34, ini dia juga perlu mengekalkan kualiti lakonan untuk terus kekal relevan dalam industri hiburan tanah air.

“Ia bukan laluan mudah kerana saya juga mengambil masa yang lama menimba ilmu lakonan untuk berada pada tahap sekarang.

“Saya bersyukur kerana diberi kepercayaan melakonkan pelbagai watak daripada gadis kampung, bertudung sehinggalah gadis berambut perang dalam Telenovela 80 episod Monalisa.

“Pada masa sama, saya sudah bekerja dengan ramai hero yang bagus seperti Aaron Aziz, Adi Putra dan terbaharu Alif Satar,” katanya.

Pelakon kelahiran Lenggong, Perak ini juga tidak suka bersikap tamak untuk merebut semua tawaran yang datang sebaliknya dia sentiasa fokus pada satu kerja dalam satu masa.

“Saya sentiasa menjaga disiplin dan tidak pernah menimbulkan masalah dengan pihak produksi sebelum ini. Sebelum ke lokasi penggambaran, saya memang sudah membuat persediaan awal terlebih dulu termasuk solekan, baju mengikut watak dan menghafal skrip supaya semuanya berjalan lancar,” katanya.

Zara berkata, penerbit dan pengarah perlu mengadakan proses uji bakat kepada pelakon terlebih dulu sebelum mereka diberi kepercayaan untuk melakonkan sesuatu watak itu.

“Begitu juga promosi drama, pelakon juga perlu memainkan peranan membantu penerbit untuk mempromosikan drama lakonan selepas penggambaran selesai.

“Ia memang ada dalam kontrak dan tanggungjawab pelakon untuk mempromosikannya di laman sosial tetapi bukanlah setiap hari,” katanya.

Mengenai watak diimpikan pula, kata Zara, dia juga impi melakonkan watak adiwira pada masa depan. “Saya tidak mahu dikenali dengan watak baik saja sebaliknya mahu variasi dalam lakonan. Saya pernah berlakon dalam filem Super Mak tetapi lakonan tidak bagus kerana masih baru dalam bidang lakonan ketika itu.

“Saya berharap diberi peluang melakonkan watak superhero sekali gus mencabar prestasi lakonan sedia ada pada masa depan," katanya.

Watak Pia mencabar lakonan

Terkini, Zara beraksi watak utama dalam drama bersiri Pia untuk slot Ramadan dan Aidilfitri bergandingan dengan Alif Satar, Sheila Rusly serta Naim Daniel terbitan produksi JS Pictures untuk TV3. “Saya memang menanti peluang untuk bekerja dengan Abang Jinggo, Kak Sheila dan produksi JS Pictures. Ia juga kali pertama bekerja dengan Alif dalam drama.

“Saya mahu menimba lebih banyak ilmu lakonan dengan mereka. Kali pertama bekerja dengan produksi mereka ialah menerusi telefilem Trauma yang juga drama khas untuk Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL), dua tahun lalu,” katanya.

Zara berkata, dia tertarik melakonkan watak Pia kerana ia sangat berat dan boleh mencabar kemampuannya dalam bidang lakonan.

“Pia memaparkan kisah pengorbanan dan ketabahan wanita menjaga adiknya yang juga golongan istimewa. Pia juga memiliki ibu saudara yang pekak dan bisu.


PELAKON juga perlu memainkan peranan membantu penerbit untuk mempromosikan drama lakonan selepas penggambaran selesai.

“Apa yang mencabar saya perlu memahami bahasa isyarat dan banyak bermain dengan emosi dalaman untuk merealisasikan watak Pia itu," katanya.

Zara menaruh harapan drama Pia akan memberi kesan mendalam pada penonton nanti.

“Drama ini akan bersiaran pada Ramadan dan saya harap ada peminat yang mengagumi watak Pia dan beri kuih serta minuman apabila saya berkunjung ke bazar Ramadan kerana terkesan dengan watak Pia itu.

“Selepas tayangan Ramadan, drama Pia akan ada sambungan untuk drama bersiri Pia Raya pula nanti. Saya harap peminat tidak akan melepaskan peluang menonton drama ini pada Ramadan nanti,” katanya.

Mengulas pengalaman bekerja dengan Sheila pula, kata kekasih pelakon Hafreez Adam ini, dia juga selesa bekerja dengannya dalam drama Pia itu.

“Setakat ini, saya tiada masalah bekerja dengan Kak Sheila mahupun produksi miliknya. Mungkin dia nampak garang tetapi jika kita memberikan lakonan seperti dikehendaki tiada sebab untuk dia memarahi pelakon,” katanya.

Zara juga baharu selesai penggambaran drama komedi Calon Menantu Tuan Rumah bergandingan dengan Hafidz Roshdi dan Dayana Roza untuk RTM.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 5:01 AM