JACINDA (kanan) melawat Rahimi yang masih terlantar dirawat di ICU Hospital Christchurch sambil ditemani Norazila.

LAPORAN Fairul Asmaini Mohd Pilus, Iskandar Shah Mohamed, Amir Abd Hamid, Ekhwan Haque Fazlul Haque, Syed Ahmad Zulkarnain Syed Ali, Zuliaty Zulkiffli dan Zuhainy Zulkiffli

[email protected]

SEORANG daripada tiga rakyat Malaysia, Rahimi Ahmad, 39, mangsa tembakan pengganas di Masjid Al Noor, New Zealand terpaksa menjalani beberapa pembedahan lagi selepas dua prosedur selesai dijalaninya di Hospital Christchurch semalam dan kelmarin.

Menurut isteri mangsa, Norazila Wahid, 39, suaminya selamat menjalani pembedahan kedua selama enam jam semalam dan pihak doktor memaklumkan keadaan dilaporkan stabil.

Norazila berkata, doktor menjelaskan suaminya perlu menjalani beberapa pembedahan lagi untuk mengeluarkan serpihan peluru yang menembusi tulang belakang epidural.

“Suami masuk ke bilik pembedahan di Hospital Christchurch jam 8 pagi tadi (waktu tempatan semalam) dan selesai dibedah jam 2 petang .

“Stabil tetapi masih belum sedarkan diri dan sedang dalam pemerhatian di Unit Rawatan Rapi (ICU). Sebenarnya saya baru dapat bertemunya di hospital jam 9 malam hari kejadian selepas pembedahan pertama selesai.

“Saya berdoa semoga semuanya berjalan lancar dan turut berharap rakyat Malaysia mendoakan kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Harian Metro, tengah hari semalam, mengulas perkembangan terkini keadaan suaminya yang juga seorang daripada puluhan mangsa tembakan pengganas dalam tragedi sebelum solat Jumaat di Masjid Al Noor di bandar Christchurch, kelmarin.

Norazila berkata, doktor menjelaskan ketika suaminya dihantar ke Hospital Christchurch untuk rawatan, kedua-dua kaki suaminya itu boleh bergerak.


NORAZILA di sisi suaminya sambil ditemani Jacinda.

“Pembedahan utama yang dilakukan terhadap suami menyebabkan dia perlu dibius sepenuhnya untuk ditidurkan. Saya diberitahu sebutir peluru sudah berjaya dikeluarkan dalam pembedahan pertama.

“Keluarga kami juga akan ke sini dan dijadualkan akan menaiki penerbangan dari Pulau Pinang jam 3.30 petang waktu Malaysia (semalam). Doakan kami,” katanya.

Norazila berkata, Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern turut meluangkan masa melawat Rahimi di hospital dan berjanji akan memberikan sebarang bantuan sekiranya diperlukan.

“Dia (Jacinda) turut meminta maaf berikutan kejadian tembakan berkenaan. Dia berpesan supaya saya kuat dan tabah menghadapi dugaan ini,” katanya.

Menurutnya, sebelum tragedi yang meragut nyawa 49 mangsa dan 48 cedera itu kehidupan masyarakat berbilang agama di New Zealand termasuk di bandar Christchurch adalah aman dan harmoni.

Malah, katanya, kejiranan termasuk bukan Islam selalu datang ke rumahnya untuk merasai masakan Malaysia selain sememangnya masyarakat tempatan turut menunggu kedatangan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri bagi diraikan bersama.

“Di sini tiada perkauman atau tak timbul pun isu persepsi Islamphobia. Toleransi antara penganut agama berlainan sangat baik. Saya difahamkan pengganas yang menyerang masjid bukanlah orang sini,” katanya.

Rahimi bekerja sebagai juruteknik robotik adalah anak ketiga daripada lima beradik menetap di New Zealand sejak 2014 bersama Norazila yang baru sahaja menamatkan PhD jurusan kejuruteraan perubatan di Universiti of Canterburry sehari sebelum tragedi.

Norazila berkata, ketika dia di hospital menjaga Rahimi, dua anak mereka iaitu Ahmad Razif, 11, dan Nur Faiqah, 9, dijaga pelajar universiti yang membantu meringankan bebannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 7:01 AM