Nor’ Asyikin Md Hayin

INSIDEN pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor menggemparkan negara di mana lebih 1,000 dirawat selepas terhidu sisa kimia yang dibuang di sungai berkenaan oleh pengusaha industri tidak bertanggungjawab.

Kejadian turut menyebabkan Kementerian Pendidikan mengeluarkan arahan menutup 110 sekolah di daerah berkenaan demi keselamatan pelajar, guru serta kakitangan sekolah.

Ikuti temu bual Wartawan Metro Ahad NOR’ASYIKIN MAT HAYIN dan juruvideo SAIFUL ISKANDAR ISMAIL bersama Pensyarah Kanan Pengurusan Sumber Akuatik, Kualiti Air dan Pengurusan Tasik, Fakulti Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohd Yusoff Ishak bagi mengupas isu ini di pejabatnya di Serdang.

Kilang haram semakin banyak. Adakah ia penyumbang kepada masalah pembuangan sisa kimia ke sungai?

Kita tidak boleh menolak kemungkinan terdapat kilang haram yang menyumbang kepada masalah pelupusan sisa toksik haram. 

Pada masa sama, perlu juga melihat kilang yang beroperasi secara sah, tetapi mengambil kesempatan untuk menjimatkan kos operasi dengan cara membuang sisa toksik ini ke tempat yang tidak sepatutnya seperti sungai dan kawasan terpencil.


 

Adakah penguatkuasaan lemah menjadi punca pengusaha kilang/industri yang membuang sisa kimia ke sungai ini naik tocang?

Penguat kuasa sudah melakukan pelbagai usaha seperti memberi kesedaran kepada orang awam dan juga industri tentang bahaya pelupusan toksik yang tidak mengikut peraturan. 

Namun tiada perubahan sikap yang diperhatikan terutama oleh pihak industri.

Antara inisiatif yang diambil oleh pihak berkuasa adalah dengan mensyaratkan setiap industri terbabit mempunyai competent person (orang yang layak) sebagai syarat lesen. 

Competent person ini adalah individu terlatih dalam bidang kepakaran masing-masing dan bertanggungjawab memastikan pengurusan sisa terjadual terutamanya adalah mengikut undang-undang sedia ada. 

Seterusnya, kerajaan perlu menambahbaik aspek self-declaration pihak industri agar sentiasa dipantau rapi melalui audit, pelaporan yang lebih kerap dan pemeriksaan mengejut sebagai penghalang insiden Sungai Kim Kim tidak berulang.

Perkongsian maklumat antara agensi perlu diperkukuh. Contoh, apabila sisa toksik tiba di pelabuhan, agensi pertama yang terbabit umpamanya ialah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

JKDM perlu berkongsi maklumat terperinci bahan kimia berbahaya dengan semua pihak yang berkepentingan seperti Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan Malaysia, pihak berkuasa tempatan dan sebagainya. Langkah ini perlu diteruskan dalam setiap rantaian pengguna sehinggalah bahan toksid itu menjadi sisa dan dihantar ke tapak pelupusan berlesen untuk tindakan sewajarnya.


 

Adakah akta alam sekitar sedia ada masih tidak mampu menghalang masalah ini daripada terjadi?

Hanya sebahagian daripada elemen di dalam akta alam sekitar sedia boleh dikatakan mampu menghalang masalah ini daripada terus terjadi. 

Namun, statistik menunjukkan bahawa bilangan sungai yang tercemar terus bertambah saban tahun dan kes kes pencemaran alam sekitar sentiasa dilaporkan.

Contoh, Sungai Kim Kim itu sendiri, adakah keadaannya sendiri bertambah baik sejak adanya akta alam sekitar ini? Dengan isu terkini, akta ini boleh dikatakan gagal.

Sebenarnya Sungai Kim Kim sudah tidak mampu bertahan lagi dalam menerima bahan cemar daripada aktiviti manusia.


 

Bagaimana mahu membendung peristiwa Sungai  Kim Kim daripada berulang?

Saya berpendapat perkara ini berbalik semula kepada pihak berkuasa. Sudah tiba masanya kes salah laku alam sekitar dikenakan denda yang lebih tinggi, penjara mandatori dan sebatan. 

Denda maksimum RM500,000 dan penjara maksimum 5 tahun dengan kes yang berlaku ketika ini adalah tidak memadai dengan impak yang dialami oleh masyarakat Pasir Gudang akibat perbuatan pelaku.

Sudah tiba masa juga kita mewujudkan tabung seperti di Amerika Syarikat (AS) iaitu Superfund.

Setiap syarikat yang berurusan dengan bahan terjadual dan sisa toksik perlu menyumbang kepada tabung ini yang diuruskan oleh pihak industri sendiri.

Tabung ini penting untuk kegunaan semasa kecemasan seperti kes pencemaran alam sekitar.  

Kerajaan boleh menggunakan dana itu untuk kerja baik pulih kawasan tercemar dan kerja pemuliharaan sungai untuk jangka masa yang lebih panjang di seluruh Malaysia. 

Insiden di Sungai Kim Kim ini adalah isyarat bahawa Malaysia perlu mewujudkan tabung itu.


 

 Dalam kes Sungai Kim Kim, adakah wujud prosedur operasi standard (SOP) bagi kawasan terjejas beroperasi semula seperti Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Pasir Putih?

SOP itu ada, tetapi apa yang kita lihat, ia terlalu bergantung kepada skop bidang pihak berkuasa yang terbabit. 

Contoh, jika impak berlaku di kawasan sekolah maka SOP itu lebih menjurus kepada murid dan di kawasan sekolah. 

Bagaimana dengan guru dan pekerja sekolah? Sedangkan kita tahu bahawa impak pencemaran alam sekitar ini akan memberi kesan kepada segenap lapisan masyarakat.

Setiap individu dalam rantaian SOP ini perlu peka dan sedar bahawa akan terdapat kesan apabila mereka memilih sama ada untuk mengambil tindakan atau memilih untuk tidak mengambil tindakan dalam menangani isu pencemaran alam sekitar.

Agensi persekutuan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) perlu diperkasa dengan melihat ancaman bukan konvensional serta luar jangka. 

Kita mungkin biasa serta bersedia dengan ancaman banjir, namun kelihatan tidak bersedia dengan impak tumpahan sisa toksik di kawasan berkepadatan tinggi seperti di Pasir Gudang ini. 

Pelbagai isu berkaitan bencana diuruskan agensi ini, tetapi fungsinya dan semangat NADMA tidak diperluaskan ke peringkat negeri dan daerah.

Apa yang saya lihat dan pelajari daripada insiden ini ialah lebih kepada pengurusan bencana. Kita harus belajar dengan cepat bagaimana pengalaman kita menangani media dan masyarakat semasa insiden MH307. 

Perlu ada pegawai media yang sentiasa berhubung dengan media untuk menyampaikan maklumat dengan tepat dan telus pada setiap masa. 


   

Apa iktibar yang kita boleh ambil daripada insiden Sungai Kim Kim?

Kita perlu melakukan lebih banyak kerja daripada sekarang. Tidak cukup dengan mengenal pasti bahan kimia toksik yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim dan mendakwa pelaku. 

Kita perlu menangani kesan yang dirasai oleh orang awam terutamanya murid dan pelajar yang terganggu secara fizikal dan emosi. 

Mereka ini perlukan sokongan perubatan dan emosi yang berterusan agar dapat kembali normal serta hadir ke sekolah.

Kerajaan perlu melihat secara menyeluruh bagaimana insiden ini dapat dielak. Bermula daripada aspek perancangan pembangunan bandar dan desa dengan lokasi penempatan industri, sehinggalah kepada menilai semula dasar mesra pelabur yang diamalkan selama ini.

Adakah berbaloi kita ada industri sebegini dan bagaimana kita bersedia menghadapi segala kemungkinan bencana yang mungkin terjadi daripada segi logistik, kewangan, pemantauan kepatuhan yang menyeluruh serta kepakaran kita dalam menangani bahaya sisa kimia?

Adakah setiap kali terjadi insiden sebegini, kerajaan perlu mengeluarkan dana awam bagi kerja pemulihan yang sememangnya memakan kos yang tinggi?

Kenapa tidak pihak industri yang membiaya kerja tersebut? Apa peranan industri ketika negara menghadapi insiden sebegini. 

Adakah pihak industri memikirkan lebih berbaloi tidak membayar kos merawat sisa berkenaan berbanding kos yang terpaksa dibayar oleh masyarakat apabila semua sekolah di Pasir Gudang terpaksa ditutup?

Sungai Kim Kim boleh dikategorikan sebagai ‘sungai mati’ dan saya merasakan ia sudah menjadi lokasi biasa bagi pembuangan bahan terjadual dan sisa toksik.

Inilah sebenarnya peluang bagi kita untuk memulakan kerja pemuliharaan sungai itu agar ia kembali kepada keadaan asalnya yang sepatutnya jernih.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 7:30 AM