GAMBAR Mohd Tarmizi Shuib bersama Mohd Haziq (kiri).
Zuliaty Zulkiffli


IBU kepada Mohd Haziq, 17, yang hilang dan gagal ditemui selepas kejadian tembakan di Masjid Al-Noor, Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu, sudah dipanggil polis bagi membuat pengecaman ke atas beberapa mayat yang baharu ditemui sebagai prosedur mencari orang hilang.

Namun, setakat ini, ibunya, Marina Hamzah,46, sudah menyerahkan gambar dan nama anak sulungnya itu kepada polis New Zealand bagi memudahkan usaha mengesan remaja berkenaan dibuat.

Dalam kejadian itu, Mohd Haziq mengikut bapanya, Mohd Tarmizi Shuib, 42, ke masjid pada hari kejadian sebelum hilang sebaik kejadian tembakan berlaku.

Kakak ipar Marina, Zarina Shuib, 52, berkata dia diberitahu adik iparnya itu ada membuat pengecaman mayat yang baru ditemui, kelmarin tetapi pihaknya tiada maklumat terbaharu.

“Setakat ini, kami masih belum dimaklumkan mengenainya.

“Justeru, kami sekeluarga terus berdoa supaya Haziq ditemui segera walau apa jua sekali pun kerana tragedi itu sudah masuk empat hari tetapi keadaannya masih tidak diketahui sampai sekarang,” katanya.

Menurut Zarina, hari ini (semalam) dia masih belum menerima apa-apa WhatsApp daripada adik ipar itu mengenai keadaan mereka.


ANTARA mangsa yang terbunuh dalam serangan di Christchurch.

“Namun, kami akan terus menunggu khabar selanjutnya daripada mereka dan berharap semuanya dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Zarina berkata, ahli keluarganya terus berdoa dan membaca surah Yasin selain melakukan solat hajat supaya Mohd Haziq segera ditemui selain keadaan kesihatan Mohd Tarmizi kembali pulih.

Selain itu katanya, mereka juga akan berdoa supaya adiknya Mariani, 49, dan dua ahli keluarga yang pergi ke Christchurch, semalam supaya selamat pergi dan pulang.

“Kami sekeluarga juga berharap Haziq ditemui selamat walaupun tiada sebarang khabar berita, setakat ini,” katanya.

Dalam kejadian Jumaat lalu, seramai 50 jemaah yang sedang menunaikan solat di dua masjid di Christchurch, New Zealand maut selepas ditembak secara rambang oleh pengganas.

Dalam kejadian itu, selain Mohd Tarmizi, dua mangsa yang cedera ialah Rahimi Ahmad, 39, dan Mohd Nazril Hisham Omar, 46, antara mangsa yang cedera terkena tembakan berkenaan dan sedang dirawat di hospital di sana.

Manakala, sehingga kini Mohd Haziq masih hilang dan sedang dikesan.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 9:00 AM