ANUAR tidak kisah terima lagu daripada peminat atau komposer baru asalkan ia menarik dan berkualiti. -FOTO: Nurul Syazana Rose Azman
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my

LEBIH tiga dekad bergelar penyanyi, pelbagai kejayaan dan pengiktirafan dikecapi Anuar Zain.

Bersandarkan bakat dan kerja keras, nama Anuar, 49, terus bertahan dalam industri muzik tanah air.

Namun, beliau masih mempunyai impian yang belum tercapai untuk mengukuhkan namanya sebagai penghibur hebat. Antaranya ialah album penuh sempena meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-50 pada 15 Februari tahun depan.

“Kali terakhir saya menghasilkan album penuh ialah pada 2016. Jika sebelum ini saya dikenali dengan lagu yang sangat berat, kali ini saya mahu menghasilkan lagu balada lebih ringan seperti dendangan penyanyi K-Pop mengikut saranan peminat,” katanya.

Mengulas mengenai album penuh pula, kata Anuar, ia bakal memuatkan lapan lagu baru yang berkualiti.

“Album ini juga masih mendapatkan khidmat komposer dari Indonesia. Saya pastikan setiap album mesti ada sekurang-kurangnya satu ‘killer song’,” katanya.

Pada masa sama, Anuar juga tidak kisah menerima lagu daripada peminat atau komposer baru asalkan ia menarik dan berkualiti.

“Saya juga terbuka untuk menerima idea daripada peminat untuk lakukan elemen strings dengan band untuk lagu popular Lelaki Ini sebelum ini. Saya juga pernah menolak lagu ciptaan komposer ternama kerana ia tidak sesuai,” katanya ketika ditemui dalam sidang media sempena Malam Amal Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019 di sebuah hotel di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Gandingan dengan idola

Sempena Malam Amal LIMA 2019, Anuar juga bakal berkongsi pentas dengan idolanya iaitu Datuk Sheila Majid dan dua penyanyi hebat Indonesia, Harvey Malaiholo serta Marcell Siahaan.

Malam Amal LIMA 2019 bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi, Westin Langkawi, pada 29 Mac ini.

Menurut Anuar, dia sangat teruja dapat berkongsi pentas dengan tiga penyanyi hebat itu.

“Saya memang menanti peluang keemasan untuk bekerjasama dengan Sheila kerana sudah lebih 10 tahun kami tidak buat persembahan bersama seperti ini.


ANUAR bakal berkongsi pentas dengan idolanya iaitu Datuk Sheila Majid dan dua penyanyi hebat Indonesia, Harvey Malaiholo serta Marcell Siahaan pada Malam Amal LIMA 2019.

“Saya memang peminat setia Sheila dan selalu mendengar lagunya sejak dulu,” katanya.

Selain Sheila, Harvey juga penyanyi hebat yang menjadi idolanya sejak dulu.

“Saya mula meminati lagu dendangan Harvey pada 1986. Antara lagu popularnya ialah Pelabuhan Cinta, Jerat dan Biarkan,” katanya.

Anuar berkata, kali pertama dia bertemu Harvey ialah pada 2010 dan memang mahu berduet dengannya dalam persembahan atau bekerjasama dalam album pada masa depan.

“Bagaimanapun, impian untuk berduet dengan Harvey tercapai kerana kami akan buat persembahan ‘finale’ pada malam amal itu. Saya akan menyampaikan tiga lagu popular secara medley dan ada lagu duet dengan Sheila nanti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anuar juga menceburi dunia perniagaan sebagai jaminan masa depannya. Ia membabitkan produk serum penjagaan wajah dan tudung bawal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 4:30 AM