PETUGAS 5E Resources Sdn Bhd mengambil sampel tanah bagi memeriksa tahap udara, air, dan tanah di Sungai Kim Kim, semalam.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


KEBIMBANGAN mangsa pencemaran gas kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor mengenai tahap kesihatan mereka termasuk penyakit serius seperti barah mendorong Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan kajian kohort bersifat jangka panjang.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kajian berkenaan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat bagi memantau perkembangan kesihatan mangsa.

Beliau berkata, kajian ini akan dilaksanakan dalam tempoh segera sebaik saja pihak KKM memperoleh segala maklumat penting berkaitan pencemaran terhadap mangsa yang terbabit.

“Inisiatif ini dilakukan kerana terdapat mangsa yang khuatir pendedahan kepada pencemaran toksik berkenaan boleh mengundang kepada penyakit serius seperti barah dan sebagainya.

“Selepas kami dapat segala data berkaitan, kami akan teliti protokolnya, metodologi dan kenal pasti siapa penyelidik perubatan berkelayakan baharu kita akan laksanakan inisiatif ini.

“Perkara itu lebih mudah kerana maklumat setiap mangsa ada dalam pangkalan data kementerian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Transformasi Pusat Penjagaan Kesihatan ASEAN 2019 di sini, semalam.

Dr Dzulkefly berkata, beliau sebagai Menteri Kesihatan bersedia melakukan satu kajian kohort terhadap kumpulan mangsa yang terbabit bagi memantau tahap kesihatan mereka dalam jangka masa panjang.

Selain itu, katanya jumlah pesakit mendapatkan rawatan di dua hospital akibat pencemaran gas kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor semakin berkurangan apabila merekodkan hanya 46 berbanding 131 pesakit sebelum ini.

“Jumlah pesakit yang ditahan di wad Hospital Sultan Ismail (HSI) adalah 32 individu manakala 14 pesakit mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

“Hingga jam 12 tengah malam tadi (kelmarin), seramai 304 individu mendapatkan rawatan pesakit luar dan 15 daripadanya ditahan untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, jumlah pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) hanya empat pesakit berbanding lapan orang sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, Pusat arahan KKM yang beroperasi di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), turut mendapati tiada pesakit mendapatkan rawatan bantuan pernafasan.

“Saya kesal dengan laporan dua media yang menyiarkan laporan bahawa saya mengatakan bahan kimia di Sungai Kim Kim tidak mempunyai kesan kronik terhadap rakyat di negeri itu.

“Saya tidak kata begitu dan harap media terbabit memperbetulkan laporan berkenaan.

“Tolonglah saya kena ‘pukul’ teruk berhubung laporan itu, ” katanya.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 6:00 AM