GAMBAR suspek ditahan penduduk Taman Sungai Petai Permai 2 yang tular di laman sosial.
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


KERANA terlalu asyik mengumpil tingkap belakang sebuah rumah, seorang penganggur tidak sedar dikepung penduduk di Taman Sungai Petai Permai 2 di sini, semalam.

Bagaimanapun, kejadian jam 1.30 pagi itu disedari seorang penduduk sebelum memaklumkan kepada penduduk lain melalui kumpulan WhatsApp.

Difahamkan, lelaki itu cuba memecah masuk sebuah rumah di taman terbabit namun ditahan bersama peralatan pecah rumah sebelum menghubungi polis.

Sementara itu, gambar penahanan suspek tanpa berpakaian dan hanya berseluar dalam turut tular di Facebook.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abd Aziz ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Beliau berkata, suspek berusia 43 tahun ditahan penduduk taman perumahan terbabit ketika mengumpil tingkap belakang sebuah rumah teres setingkat.

Katanya, suspek dipercayai melakukannya berseorangan.

“Suspek tidak sempat masuk ke dalam rumah mangsa yang ketika kejadian sedang berkursus di Kuala Lumpur.

“Dipercayai berlaku pergelutan ketika suspek cuba ditahan berdasarkan kecederaan di muka dan belakang suspek,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, suspek menggunakan pemutar skru untuk mengumpil rumah mangsa dan tiada barang hilang dari rumah yang disasarkan itu.

Asmadi berkata, suspek yang positif dadah jenis Methamphetamine mempunyai enam rekod lampau masing-masing empat kes jenayah pecah rumah dan dua membabitkan penyalahgunaan dadah.

“Kami merampas satu beg berwarna coklat, satu playar, satu pemotong dan satu pemutar skru,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 457/511 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 8:02 AM