Penduduk mempunyai simptom akibat pencemaran sisa bahan kimia mendapatkan saringan awal di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, semalam. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


PUSAT Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana dan Pusat Rawatan Awal (Medic Base) di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) akan ditutup secara rasmi, 12 tengah hari ini.

Pusat itu diwujudkan susulan insiden pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim dekat Taman Pasir Putih, Pasir Gudang yang menyebabkan lebih 4,000 penduduk termasuk murid dan pelajar terjejas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal berkata, keputusan penutupan dibuat selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Johor Bahru, malam tadi.

Katanya, mesyuarat itu membabitkan pelbagai agensi yang terbabit insiden berkenaan.

“Data yang kita dapat, jumlah pesakit berkurangan dan keseluruhan kualiti udara di persekitaran Sungai Kim Kim sudah kembali pulih.

“Hasil mesyuarat jawatankuasa bencana, maka kami ambil keputusan dengan perkembangan positif ini, Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana dan Pusat Rawatan Awal (Medic Base) Stadium Tertutup MPPG akan ditutup secara rasmi pada 12 tengah hari ini.

“Saya sebagai wakil kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada agensi Kerajaan Persekutuan, pasukan keselamatan, anggota kesihatan, institusi pendidikan, pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan, pengamal media dan semua yang terbabit dalam proses ini,” katanya pada sidang media di pekarangan Menara Aqabah, MPPG, hari ini.

Dr Sahruddin berkata, bagaimanapun kerja pemantauan oleh agensi yang terbabit akan tetap diteruskan mengikut keperluan agensi masing-masing.

Katanya juga, sehingga 12 tengah malam tadi, 40 pesakit sudah dibenarkan pulang selepas rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala lapan pesakit baharu dirujuk ke hospital setakat tempoh sama.

Beliau berkata, hanya dua pesakit masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemantauan, namun semuanya dilaporkan stabil.

“Daripada 17 Mac hingga jam 12 tengah malam tadi, 44 pesakit masih dirawat di hospital. Orang awam yang mengalami simptom seperti pedih mata, loya, muntah, sesak nafas dan pening, boleh dapatkan rawatan di hospital atau klinik kesihatan yang berhampiran,” katanya.

Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana di Menara Aqabah, MPPG itu dibuka sejak 12 Mac lalu, selepas berlaku gelombang ketiga dalam insiden pencemaran sungai berkenaan.

Stadium Tertutup MPPG pula dijadikan Pusat Rawatan Awal sejak 14 Mac, menggantikan dua dewan yang dijadikan Medic Base sebelum itu.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 10:42 AM