Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli
am@hmetro.com.my


SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Koroner di Shah Alam, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) tidak menyuraikan orang awam yang terbabit dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25, Subang Jaya, November tahun lalu, kerana terikat dengan prosedur operasi standard (SOP).

Komander Unit 1A FRU, Asisten Superintendan Shuhaimi Yaakub berkata, langkah itu berdasarkan ‘public order’ manual yang menggariskan sebarang tindakan perlu diambil pasukan itu dalam menangani situasi rusuhan.

Saksi inkues ke-21 berkata demikian ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah pada hari ke-14 inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24.

HAMDAN: Beritahu mahkamah, kenapa FRU tak ambil tindakan untuk kawal orang ramai yang ada di atas jalan sebelum mereka di luar kawalan?

SHUHAIMI: Pada malam kejadian, kedua-dua ‘troop’ (pasukan) diarah ke kuil (itu) tanpa ada sebarang arahan selain ‘stand by’ (bersiap sedia) di kuil. Kami sebagai pasukan bantuan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya sepatutnya ditaklimatkan atau diberi arahan secara spesifik sama ada terus ambil tindakan atau untuk stand by. Tanpa ada arahan susulan, kami terus bersiap sedia di kawasan itu.

HAMDAN: Kenapa tiada inisiatif untuk kawal keadaan orang ramai pada masa itu?

SHUHAIMI: Sebagai FRU, kami mempunyai SOP iaitu berdasarkan public order manual... sudah gariskan sebarang tindakan perlu diambil untuk tangani apa-apa rusuhan.

Arahan kami terima untuk lapor pada Ketua Polis Daerah Subang Jaya dan terima arahan daripada dia.

Saksi sama berkata, pihaknya kemudian cuba berhubung dengan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, namun gagal, sebelum menghubungi timbalannya.

“Dan arahan yang kami terima adalah standby sahaja. Selain itu, arahan daripada Komander FRU juga adalah ‘refer’ (rujuk) kepada Ketua Polis Daerah Subang Jaya,” katanya.

Menjawab soalan Hamdan mengenai public order manual, Shuhaimi berkata, perenggan ke-19, bahagian ke-25 manual itu menyatakan bahawa di mana dan bagaimana penggunaan FRU sebagai pasukan simpanan bantuan untuk mengambil tindakan melalui arahan pegawai polis ditetapkan.

“Jika bantuan diberikan kepada ibu pejabat polis daerah. Kami perlu rujuk kepada ketua polis daerah atau pegawai polis yang diberi kuasa oleh ketua polis daerah,” katanya.

Ketika menjawab soalan Hamdan sama ada jumlah kekuatan pegawai dan anggota FRU bertugas mencukupi untuk menangani rusuhan berkenaan, Shuhaimi berkata, pada dasarnya, ia mencukupi hanya jika peserta insiden terbabit tidak menggunakan senjata berbahaya.

HAMDAN: Dengan kekuatan kamu dan jumlah orang ramai yang bertindak di luar kawalan. Adakah mencukupi untuk menyuraikan orang awam?

SHUHAIMI: Pada dasarnya, berdasarkan pengalaman, satu troop boleh kawal lebih 1,000 orang. Tetapi pada masa itu, kami tak ada kekuatan sepenuhnya. Di mana kekuatan sebenar setiap troop perlu ada tiga pegawai dan 85 orang. Tetapi pada malam itu, ada yang ambil cuti dan terbabit dengan penugasan lain.

Pada malam itu, dua troop iaitu keseluruhannya lima pegawai dan 113 anggota.

Terdahulu, saksi sama berkata, dua troop FRU iaitu 1A dan 4B, dikejarkan ke lokasi rusuhan tetapi kedua-dua pasukan ‘tersangkut’ dalam kesesakan lalu-lintas di atas jejambat, kira-kira 100 meter dari kuil berkenaan.

Katanya, setiap pasukan masing-masing dengan tujuh kenderaan iaitu satu ‘command vehicle’, tiga lori, satu lori logistik, satu Land Rover dan satu water cannon (meriam air).

Menurutnya, sebaik tiba, dia melihat kira-kira 5,000 orang awam dan dua kenderaan terbakar sebelum dua kenderaan bomba dilihat tiba bagi memadamkan kebakaran.

Pada satu-satu masa, saksi sama berkata, sebuah daripada kenderaan turut dikelilingi sekumpulan orang awam.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di IJN.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 12:22 AM