BLACKPINK dikatakan tidak berpeluang hadiri persembahan atau acara anugerah di Korea Selatan.
Georgie Joseph 
georgie@hmetro.com.my

ANNYEONGHASEYO!! Skandal membabitkan anggota BIGBANG iaitu Seungri yang juga bekas artis naungan YG Entertainment mendapat perhatian seantero dunia. Bukan saja reputasi Seungri terjejas malah skandal itu turut meninggalkan impak besar kepada ramai

artis.

Terbaharu, peminat BLACKPINK iaitu BLINK meluahkan rasa bimbang jika skandal itu turut mempengaruhi jadual kumpulan itu. Ini kerana fokus peminat kini tertumpu kepada pergerakan agensi kumpulan itu. Mengumumkan mereka sepatutnya membuat kemunculan semula hujung bulan ini, kebimbangan peminat kian memuncak gara-gara skandal terbabit.

Apatah lagi, BLACKPINK sepatutnya menjayakan pelbagai acara muzikal. Bahkan, sebelum pengumuman itu dibuat, khabar angin bertiup kencang kononnya BLACKPINK tidak akan mempromosikan sebarang program muzik termasuk Inkigayo terbitan SBS.

Berbaki kurang dua minggu menjelang April, peminat mula berteka-teki sama ada khabar angin itu menjadi kenyataan. SBS juga dilihat memberi keutamaan terhadap liputan kes Seungri dan Burning Sun yang kini dalam siasatan polis berbanding perkembangan penggiat seni lain.

Oleh itu, ramai menyalahkan YG menjadi penyebab kepada semua masalah yang timbul.

“Dulu Mnet dan sekarang SBS. Berdasarkan keadaan sekarang, BLACKPINK tidak akan berpeluang menghadiri persembahan atau acara anugerah di Korea Selatan. Terima kasih kepada YG dan Seungri atas perbuatan mereka.

“BLACKPINK tidak bersalah dalam hal ini tetapi terpaksa membayar atas perbuatan orang lain,” kata seorang peminat yang tidak berpuas hati.

Bagaimanapun, ada pihak percaya keadaan itu tidak akan menggugat aktiviti seni BLACKPINK kerana ada artis lain di bawah YG aktif mempromosikan diri mereka pada program program Inkigayo. Jadi, peluang BLACKPINK untuk berbuat demikian juga tinggi dan tiada apa yang perlu dirisaukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 4:30 AM