ROSLAN (tengah) bersama pegawainya menunjukkan peket pil kuda dan syabu yang dirampas daripada pengedar dadah Isnin lalu.
Siti Rohana Idris
cnews@nstp.com.my


SETIAP 200 pil kuda yang dibeli disertakan dengan syabu seberat 1 gram secara percuma.

Demikian pakej yang ditawarkan pengedar dadah untuk menarik perhatian pengedar kecil, selain meluaskan rangkaian pengedaran bahan terlarang itu.

Modus operandi itu terbongkar dalam serbuan anggota dan pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah di Taman Manal Jaya, Tanah Merah pada jam 11 malam, Isnin lalu.

Dalam operasi itu polis menahan dua lelaki berusia 34 tahun yang disyaki pengedar dan merampas dadah bernilai RM189,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Kelantan, Superintendan Roslan Yusof Mohamad berkata, terdahulu anggotanya menahan sebuah kereta Proton Saga yang dinaiki dua lelaki.

“Berlaku sedikit pergelutan ketika penahanan, namun dua suspek ditangkap dan pemeriksaan lanjut dalam kenderaan menemui tiga bungkusan plastik cerah yang di dalamnya ada bungkusan berwarna putih.

“Dalam setiap bungkusan kertas ada lapan paket plastik warna biru dan dua merah jambu bertulis A diikat dengan getah yang setiap peket mengandungi 198 pil kemerahan serta dua kehijauan disyaki pil kuda.

“Turut ditemui, satu paket plastik cerah berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki syabu seberat 60 gram dan anggaran keseluruhan rampasan dadah bernilai RM189,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek menawarkan 200 pil kuda disertakan bersama satu paket syabu seberat satu gram yang diberikan percuma kepada pengedar dadah.

“Ia dipercayai sebagai hadiah promosi untuk edar kepada pengedar kecil,” katanya.


PIL kuda dan syabu yang dirampas bernilai RM189,000.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya negatif dadah namun seorang daripada mereka yang juga pengawal keselamatan memiliki satu rekod lampau berkait dadah.

“Kedua-dua suspek direman ujuh hari bermula 18 hingga 24 Mac ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh membawa kepada hukuman mati mandatori,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, tindakan seorang penganggur yang cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya terbongkar dengan penemuan dadah selepas motosikalnya merempuh lori di Pak Pura, Bachok, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, pemeriksaan terhadap suspek berusia 34 tahun menemui 17 botol heroin di dalam beg silang.

Sehingga kini, suspek masih tidak sedarkan diri di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, Superintendan Roslan Yusof Mohamad berkata, sebelum kejadian suspek menunggang motosikal Honda EX5 dari Binjai ke Bachok sebelum terserempak sekatan jalan raya di Pak Pura.

“Suspek cuba melarikan diri dengan membuat pusingan U sebelum motosikalnya merempuh lori dari arah bertentangan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, semalam.

“Susulan kejadian itu, suspek yang parah dikejarkan ke HUSM untuk rawatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, semalam.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di dalam beg silang suspek menemui 17 botol dadah heroin dianggarkan bernilai RM34,435.

“Suspek dipercayai baharu mendapatkan bekalan dadah itu dari pengedar dan aktiviti pengedarannya aktif di sekitar Bachok serta mempunyai rangkaian di Kota Bharu,” katanya.

Roslan berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek memiliki sembilan rekod lampau berkaitan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 yang boleh membawa kepada hukuman mati mandatori dan Seksyen 12(2) ADB 1952 iaitu penjara tidak lebih dari lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 7:01 AM