PEGAWAI Jabatan Alam Sekitar menunjukkan sampel bahan di dalam tong biru.
ANGGOTA Hazmat mengambil sampel bacaan di dalam tong biru yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab di dalam parit berhampiran SMK Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


JAWATANKUASA Saintifik yang ditubuhkan bagi menangani isu pencemaran Sungai Kim Kim, Taman Pasir Putih mengenal pasti 46 lokasi baharu di kawasan perindustrian Pasir Gudang yang berpotensi berlaku pencemaran alam sekitar.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata, perkara itu didedahkan hasil kajian dilakukan jawatankuasa berkenaan yang menggunakan data imej satelit ke atas keseluruhan kawasan Pasir Gudang.

Bagaimanapun, katanya, semua lokasi berpotensi itu sudah disahkan tidak menghasilkan gas toksik berbahaya yang boleh menyebabkan keracunan seperti yang berlaku dalam insiden pencemaran Sungai Kim Kim.

“Kami gunakan data satelit di seluruh kawasan Pasir Gudang termasuk sepanjang sembilan kilometer Sungai Kim Kim dan daripada imej satelit itu, ada 46 lokasi berpotensi berlaku pencemaran.


ANGGOTA Hazmat mengambil sampel bacaan di dalam tong biru yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab di dalam parit berhampiran SMK Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang.

“Jabatan Alam Sekitar terus memeriksa 46 lokasi terbabit dan mendapati lokasi itu bukan sumber atau punca kes keracunan beramai-ramai yang berlaku ini.

“Contohnya tempat pembuangan sampah haram adalah satu pencemaran, tetapi ia tidak mengakibatkan keracunan seumpama ini,” katanya pada sidang media Pembentangan Laporan Jawatankuasa Saintifik Pencemaran Sungai Kim Kim di Kota Iskandar, di sini, semalam.

Menurutnya, semua lokasi dikenal pasti itu tetap menjalani proses pembersihan yang dikendalikan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

“Kami akan menyerahkan proses pembersihan lokasi berpotensi ini kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Namun, saya belum mempunyai maklumat mengenai yang mana lokasi tempat pelupusan sampah domestik dikendalikan PBT atau lokasi pembuangan sisa berjadual.

“Jadi, saya akan serahkan senarai ini (lokasi berpotensi) kepada kerajaan negeri untuk langkah seterusnya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 8:01 AM