ISMAIL IZZANI
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


BERTAPAK dalam industri hiburan sejak 2017, pencapaian penyanyi Ismail Izzani agak ketinggalan berbanding rakan seangkatannya yang lain. Namanya sememangnya kuat terpahat di hati peminat namun tuah belum menyebelahinya untuk meraih sebarang pengiktirafan.

Hakikatnya, Ismail, 19, antara pendatang baru yang mampu memacu industri muzik ke tahap lebih tinggi. Karyanya cukup meyakinkan sehingga setiap satunya diterima baik khususnya dalam kalangan anak muda.

Penyanyi yang popular dengan lagu Sabar itu bagaimanapun optimis rezekinya akan tiba satu hari nanti. Baginya, dia perlu berusaha keras bagi membuktikan layak diterima dalam industri selain mengidam beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) pula selepas ini.

“Untuk mengecapi kemanisan dalam industri ini sebenarnya memakan masa. Mungkin sudah tertulis bukan rezeki saya lagi buat masa ini. Mungkin lima tahun akan datang.

“Berpeluang beraksi di AJL ibarat mimpi jadi kenyataan kerana sejak kecil saya mengikuti acara berprestij ini. Cuma, setakat ini lagu saya belum lepas ke final dan kerap terkandas di peringkat semi final saja.

“Bagaimanapun, itu pentas impian saya dan akan terus mencuba hingga dapat. Saya pun baru 19 tahun, masih belajar dan banyak lagi kena faham selok-belok industri,” katanya.

Memutuskan untuk tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Ismail menjadikan industri sebagai ‘sekolah’ buat dirinya.

Namun, dia tak pernah berniat menjadi contoh yang tidak baik kepada remaja lain. Disebabkan itu, dia berjanji akan lakukan apa saja bagi memastikan berjaya dalam industri.

“Ikut perancangan asal, saya sepatutnya ambil SPM barulah sambung belajar. Namun, apabila sudah berbincang dengan ibu bapa dan adik-beradik lain, keputusan itu direstui.

“Jujur, jiwa saya bukan pada pendidikan buat masa ini. Bukan tidak suka dan tiada niat tunjuk contoh buruk kepada remaja lain.

“Bagaimanapun, inilah jalan terbaik buat saya dan berjanji akan bekerja keras mengukuhkan kerjaya

seni,” katanya.

Sambung Ismail lagi, apa yang diputuskan itu adalah untuk masa sekarang dan tidak mustahil menyambung pengajian pada masa akan datang. “Apa yang saya buat sekarang bukan untuk suka-suka atau mahu popular semata-mata sebaliknya saya sedang dalam proses belajar. Industri akan jadi sekolah saya dan mereka yang lebih berpengalaman akan jadi guru saya.

“Ramai tanya bila saya akan sambung belajar. Jawapan saya, insya-Allah tidak lama lagi atau apabila sampai masanya. Kalau tak sambung, saya berjanji akan bekerja keras dalam bidang ini,” katanya.

Berkongsi mengenai kerjaya, Ismail bakal tampil dengan single baharu dan memilih bekerjasama dengan pelawak Zizan Razak. Menurutnya, gandingan itu berlaku secara spontan dan tidak sabar mahu melihat penerimaan peminat.

“Saya akan lancarkan sebuah single bersama Zizan dan harapnya mendapat sambutan. Agak mencabar juga prosesnya memandangkan jadual kami bercanggah.

“Menariknya, kerjasama ini berlaku selepas saya masuk dalam ‘live’ Zizan di Instagram. Zizan yang menyuarakan untuk buat lagu dan bila tanya pengurusan masing-masing, kami capai kata semangat.

“Setakat ini, kami baru siapkan demo dan masih menunggu untuk ‘final mixing’. Insya-Allah lagu ini akan dilancarkan bulan depan,” katanya.

Ismail menafikan menggunakan populariti Zizan untuk menaikkan lagi namanya. Sebaliknya, dia bersyukur dapat bergandingan dengan senior yang arif perihal industri.

“Saya menghormati Zizan dan suka bekerja dengannya. Sepanjang rakaman, banyak yang saya belajar daripada Zizan.

“Ada masa dia bagi nasihat dan ia sangat berguna untuk saya.

“Kalau ada rezeki, saya nak bekerja dengan lebih ramai senior. Proses ini sangat bagus kerana kami sama-sama timba ilmu dan mereka pun pasti mahu tahu bagaimana pemikiran artis muda zaman sekarang,” katanya.

Ismail juga mengambil pendekatan untuk lebih telus dengan khalayak dan tidak mahu bermuka-muka. Selesa menjadi diri sendiri, dia berpegang kepada nasihat ibunya, Datin Suliza Salam agar sentiasa merendah diri.

“Mama pernah berkongsi jika mahu bertahan dalam industri kena ada karakter yang kuat dan jadi diri sendiri. Sekarang senang jika dibandingkan dengan dulu kerana ada media sosial. Saya boleh tunjukkan siapa saya sebenarnya dan bukannya sebagai artis.

“Saya nak orang kenal keperibadian saya dan Instagram medium penting untuk melaksanakannya. Disebabkan itu, saya selalu buat video mengarut dan suka buat orang terhibur meskipun pada masa sama ada yang tidak suka atau meluat.

“Jadi jujur lebih senang, tak payah kawal atau sorok apa-apa. Ia juga akan memudahkan komunikasi kita dengan sesiapa saja termasuk peminat, “ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 6:00 AM