ANTARA keterangan gambar milik Mohd Haziq dalam akaun Instagram (IG) miliknya yang meruntun jiwa rakan-rakannya.
HarianMetro
am@hmetro.com.my


‘GOODBYE korang’ (selamat tinggal semua). Itu hantaran keterangan gambar Mohd Haziq dalam akaun Instagram (IG) miliknya yang meruntun jiwa rakan-rakannya.

Status itu ditulis Haziq dalam akaunnya menggunakan nama ziqninja pada 7 Disember 2017 dengan memaparkan gambar rakan-rakannya di sebuah kafe.

Harian Metro mendapati status itu mendapat reaksi semula selepas remaja itu disahkan terkorban dalam tragedi serangan pengganas menembak membuta-tuli di dua masjid di Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu.

Ucapan selamat tinggal terakhir untuk rakan, kata pemilik akaun IG aimiediyanna dalam reaksinya manakala ciknarratu dalam tulisannya menyifatkan status IG Haziq itu membuatkannya sebak.

Pemilik akaun michaelajjames2 pula menulis Haziq tidak akan dilupai dan sentiasa diingati serta semoga damai ke negeri akhirat.

epulakmal_ pula dalam hantaran di IG arwah menghadiahkan ‘Al-Fatihah, semoga saudara tenang di sana dan ditempatkan dikalangan orang-orang beriman’.

Pemilik akaun ahmadiqbalihsan menyatakan kematian Haziq dalam serangan di Masjid Al Noor sebelum solat Jumaat minggu lalu itu sebagai kematian dicemburui.

imhashim15 pula menulis takziah untuk seluruh ahli keluarga Allahyarham manakala pemilik akaun muhammadrayyannaufal_05 pula tidak dapat meluahkan kesedihannya dengan perkataan dan hanya meletakkan emoji sedih.

Haziq antara 50 mangsa yang terkorban dalam serangan pengganas menembak jemaah secara membuta-tuli di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac lalu ketika umat Islam sedang menunggu untuk solat Jumaat.

Arwah anak kedua Mohd Tarmizi Shuib, 42, yang parah dalam serangan di Masjid Al Noor.

Ketika kejadian, Tarmizi bersama dua anaknya, Muhammad Haris, 12, dan Haziq hadir untuk menunaikan solat Jumaat di masjid itu.

Haris bagaimanapun terselamat tetapi trauma susulan kejadian terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 9:00 AM