KERETA rasmi Dr MAZA rosak teruk. FOTO Ihsan PDRM.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


KERETA rasmi Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin terbakar di bahagian enjin selain cermin tingkap dipecahkan, di rumahnya di Jalan Persiaran Wawasan, Kangar, hari ini.

Kenderaan itu ditemui dalam keadaan demikian pada 6.05 pagi dipercayai angkara khianat.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada kediaman Mohd Asri sebelum sepasukan anggota bomba digerakkan ke lokasi untuk kerja pemadaman.

“Ketika bomba tiba, sebuah kereta jenis Honda Accord berwarna hitam terbakar di bahagian enjin.

“Kebakaran berjaya dikawal dan kenderaan itu rosak teruk pada enjin selain cermin hadapan dan belakang serta tayar hadapan kiri.

“Kita tidak menolak kemungkinan ia adalah angkara khianat berikutan ada kesan pecah pada cermin akibat dibaling botol berisi petrol untuk tujuan membakar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya melakukan siasatan terperinci dan sudah mendapatkan maklumat daripada Mohd Asri sendiri.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 11:16 AM