AL-Sultan Abdullah berkenan menunaikan solat Jumaat dan solat jenazah ghaib di Masjid Abdullah bin Zubair, Sungai Besi untuk mangsa yang terkorban dalam tragedi di Christchurch, New Zealand.
Yusmizal Dolah Aling dan Siti A’isyah Sukaimi


YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyertai jemaah menunaikan solat jenazah ghaib ke atas mangsa yang terkorban dalam tragedi di Christchurch, New Zealand di Masjid Abdullah bin Zubair, Sungai Besi, di sini, semalam.

Turut serta, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Panglima Tentera Udara Tan Sri Affendi Buang dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Mohd Ajib Ismail.

Terdahulu, baginda menunaikan solat Jumaat diimamkan Mejar Mohd Muntaha Salleh.

Khutbah Jumaat yang disampaikan bertajuk Islam Agama Keamanan merujuk kepada tragedi berdarah yang mengorbankan 50 nyawa termasuk seorang rakyat Malaysia Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17.

Sementara itu, Imam Masjid Putra di Putrajaya Lukman Mohd Hosni mahu umat Islam mengambil iktibar peristiwa hitam yang berlaku di Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood, Christchurch, New Zealand, baru-baru ini berpunca akibat salah faham terhadap agama Islam.

Beliau ketika membacakan khutbah Jumaat berkata, tindakan yang dilakukan pengganas terbabit sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan.

JEMAAH Masjid Sultan Idris Shah II menunaikan solat ghaib bagi mangsa yang terkorban dalam serangan pengganas di New Zealand.

“Sebagai muslim yang saling bersaudara, inilah masanya kita menzahirkan keprihatinan, kebersamaan dan solidariti.

“Sesungguhnya Allah SWT saja yang mengetahui hikmah di sebalik peristiwa hitam ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Islam menolak apa jua gerakan pelampau yang menggunakan kekerasan, pembunuhan dan peperangan sehingga menggugat keamanan negara mahupun dunia.

“Sebagai umat Islam yang cintakan keharmonian dan keamanan, janganlah kita terlalu mudah mengambil sebarang tindakan sebagai balasan terhadap perbuatan,” katanya.

Pada masa sama, Lukman berkata, Islam terbukti membawa kedamaian kerana perintah Allah yang banyak di dalam al-Quran menganjurkan kedamaian, larangan menumpahkan darah tanpa hak, tidak memaksa orang bukan Muslim memeluk Islam selepas disampaikan mesej Islam kepada mereka.

ORANG ramai menunaikan solat Jumaat serta solat jenazah ghaib untuk Mohd Haziq di Masjid Bandar Diraja Klang.

“Bahkan Islam mengajar kita supaya berhikmah dalam berdakwah. Justeru, memelihara kedamaian adalah sebahagian daripada tujuan penciptaan manusia sebagaimana ajaran Islam,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kewujudan pelbagai agama, kaum dan bangsa tidak menjadi penghalang untuk hidup dengan aman serta harmoni.

Katanya, pelbagai kaum dan bangsa serta keturunan dengan pegangan agama masing-masing dapat membentuk masyarakat yang saling bertolak ansur.

Lukman kemudian mengimamkan solat Jumaat seterusnya solat hajat dan solat jenazah ghaib terhadap Allahyarham Mohd Haziq.

Solat jenazah ghaib itu dihadiri kira-kira 300 hingga 400 umat Islam yang bersama mendoakan Allahyarham.

IMAM Masjid Putrajaya, Lukman Mohd Hosni mengimamkan solat Jumaat disertai solat jenazah ghaib dan solat hajat berikutan tragedi di New Zealand.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 10:00 AM