ABD Wahab ditemui media ketika tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Januari lalu. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.


SELEPAS hampir tiga bulan berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Krabi, Thailand, untuk perbicaraan kes kemalangan maut di wilayah itu, Abd Wahab Yahaya, 57, akhirnya dapat menarik nafas lega apabila ia selesai 19 Mac lalu.

Malah, mahkamah memutuskan jumlah pampasan yang perlu dibayar Abd Wahab kepada waris mangsa hanya RM95,000, berbanding dituntut RM200,000.

Geran tanah milik rakyat Thailand yang dijadikan jaminan terhadap kes itu juga sudah dipulangkan semula.

Anak Abd Wahab, Hasanah, 34, berkata, mahkamah mengurangkan pampasan itu mengambil kira keadaan kewangan ayahnya dan perbelanjaan sepanjang proses perbicaraan.

“Sejumlah besar pampasan ini sudah dilunaskan dan bakinya dibenarkan untuk dibayar secara ansuran bulanan.

“Mahkamah juga mengurangkan denda kepada RM1,300 dan ayah tidak dikenakan hukuman penjara selepas mengambil kira perbelanjaan keseluruhan bagi kes ini yang kami tanggung.

“Ia mencecah RM130,000 termasuk pampasan, yuran guaman dan belanja perjalanan dua minggu sekali Malaysia-Thailand,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Dia memberitahu mereka sudah memulangkan geran tanah dan rumah milik Haji Ismail menguruskan kedai makan Tuan Haji Ismail Madina Halal Food, yang digunakan untuk membebaskan bapanya daripada tahan reman.

“Mahkamah memulangkannya pada 19 Mac lalu,” katanya.

Hasanah berkata, mereka sekeluarga sangat berterima kasih kepada media yang membuat liputan hingga mendapat perhatian rakyat Malaysia dan Thailand, seterusnya membantu bapanya sehingga kes selesai.

Katanya, kejadian itu memberi pengajaran kepada mereka sekeluarga supaya lebih berhati-hati ketika di negara itu termasuk menyediakan perlindungan insurans.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam, 19 Disember tahun lalu, Abd Wahab dan isterinya, Junaidah Muhammad Said, 46, dikatakan terlanggar pejalan kaki ketika menunggang motosikal di Jalan Aonang, Krabi, menyebabkan mangsa maut.

Mengikut undang-undang di Thailand, penunggang motosikal atau pemandu kenderaan perlu bertanggungjawab jika kemalangan membabitkan pejalan kaki.

Berita berkaitan

'Mulianya hatimu Haji Ismail'

'Selamat pulang Abd Wahab...[METROTV]'

'[UPDATE] Abd Wahab boleh pulang sementara...'

'Bapa masih di hospital, tunggu perbicaraan'

'Tolong kami cari RM200,000...'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 1:53 PM