HAQIEM sedia dikecam selepas muncul dengan single What Can I Do For You. -FOTO: Aziah Azmee
HAQIEM sedia dikecam selepas muncul dengan single What Can I Do For You. -FOTO: Aziah Azmee
Sudirman Mohd Tahir


TAHUN lalu, Haqiem Rusli menerima teguran daripada penyanyi Adibah Noor apabila dilihat gagal melontarkan lirik dalam bahasa Inggeris dengan jelas. Bagaimanapun, kritikan itu tidak mematahkan semangat Haqiem, 21, atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli untuk terus berkarya.

Terbaharu, Haqiem yang popular menerusi lagu Tergantung Sepi muncul dengan single What Can I Do For You.

“Sepanjang proses rakaman, saya mendapatkan bantuan mereka yang mahir untuk bimbing dan jaga sebutan bahasa Inggeris. Jadi, tak perlu risau. Apa pun, bunyi Melayu tetap ada sebab orang Melayu yang nyanyi.

“Kalau ada yang kecam lagi, saya okay saja. Saya sudah biasa kerana pernah kena lebih teruk lagi. Saya takkan marah atau kecam sebaliknya memaafkan mereka. Itu lebih baik.

“Asalkan Tuhan tahu niat saya, itu sudah cukup. Selebihnya, terpulang kepada persepsi masing-masing,” katanya.

Menurut Haqiem, menyusul nanti lagu genre balada, Lembah Kesepian yang akan dilancarkan Mei ini.

“Ramai bertanya bila saya nak keluarkan lagu balada. Insya-Allah, Mei ini. Bermakna tahun ini ada dua lagu.

“Malah, saya menyasarkan lagu ini untuk pergi jauh dan mungkin dapat bertanding di Anugerah Juara Lagu. Doakan semoga lagu ini berjaya menambat hati peminat,” katanya.

Imej cermin mata

Menyentuh imej berkaca mata hitam, Haqiem berkata, dia selesa dan tampil lebih yakin dengan gaya itu.

“Lebih-lebih lagi ketika beraksi di atas pentas, saya memang selesa pakai kaca mata hitam. Pendek kata saya gunakan imej ini demi kebaikan diri sendiri.

“Disebabkan imej ini juga, ramai cakap saya Datuk Jamal Abdillah Junior. Sebagai orang baharu dalam industri sudah tentu saya mengagumi dan menghormati beliau. Malah, dialah idola saya selama ini,” katanya.

Dalam masa sama, Haqiem mengakui ramai beranggapan dia sombong berikutan mengekalkan imej itu.

“Ramai cakap saya sombong tapi apabila sudah berjumpa saya, mereka akui tanggapan itu salah sama sekali. Jadi, jangan nilai berdasarkan panda­ngan luaran saja. Kena kenal saya luar dalam.

“Sebenarnya, saya peramah dan mudah mesra. Cuma, ada ketika segan nak tegur orang.

“Tanyalah kawan baik dan orang sekeliling yang rapat dengan saya, mereka tahu perangai saya macam mana,” katanya.

KEKAL imej berkaca mata hitam.
KEKAL imej berkaca mata hitam.

Menurut Haqiem, dia mempunyai lebih 20 koleksi cermin mata yang dibeli sendiri dan hadiah daripada peminat.

Malah, Haqiem tidak segan silu mengakui pernah menggunakan cermin mata tiruan berharga RM20.

“Saya tak pakai yang mahal pun. Lebih bagus pakai yang murah-murah saja sebab selalu hilang.

Kadang kala saya pakai yang tiruan berharga RM20. Ada yang beli sendiri dan ada juga peminat bagi jenama Gucci. Ini yang paling mahal dan sering digunakan. Paling mahal pernah saya beli RM300,” katanya.

Perkembangan lain, Haqiem menafikan dia individu yang dikatakan tidur bersama wanita seperti yang tersebar di Twitter baru-baru ini. “Itu adalah suntingan. Nampak sangat ia disunting sebab dalam gelap.

“Saya pun tidak tahu siapa yang buat. Takut orang percaya bulat-bulat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 6:30 AM