Shamsul Kamal Amarudin
shaka@nstp.com.my


PEMANDU cedera apabila dua treler berlanggar sebelum terbakar di Kilometer 259.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, berhampiran Terowong Menora dekat Ipoh, hari ini.

Kejadian itu mengakibatkan kesesakan teruk sehingga 17 kilometer (Km) apabila laluan antara Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak ke Terowong Menora itu terpaksa ditutup sepenuhnya selama kira-kira tiga jam bagi operasi pemadaman api.

Syarikat Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) bagaimanapun membuka ‘Laluan pusingan U’ di Km 259.1 untuk pengguna kenderaan membuat pusingan kembali ke arah utara dan keluar menerusi Plaza Tol Kuala Kangsar, bagi meneruskan perjalanan ke selatan menggunakan Jalan Persekutuan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim, berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 11.30 pagi apabila treler membawa muatan plastik berhenti di lorong kiri kerana mengalami masalah enjin.

“Kemudian datang treler tanpa muatan dari arah belakang melanggar bahagian belakang treler yang berhenti itu mengakibatkan berlaku kebocoran minyak diesel sehingga menyebabkan kepala treler muatan kosong itu terbakar dan pemandunya cedera.


DUA treler terbakar berhampiran Terowong Menora. FOTO ihsan Bomba

“Oleh kerana api marak terlalu cepat, treler yang membawa muatan plastik turut terbakar,” katanya ketika dihubungi di Ipoh, hari ini.

Beliau berkata, kejadian itu turut mengakibatkan keadaan jalan raya di lokasi kejadian berminyak akibat tumpahan diesel.

Sementara itu, kurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.41 pagi dan sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar bergegas ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba, kami mendapati terdapat dua treler terbakar lebih 80 peratus dan operasi pemadaman dilakukan diketuai Pegawai Bomba Kanan Samsudin Abd Karim mengambil masa kira-kira tiga jam,” katanya ketika dihubungi di Ipoh, hari ini.

Sementara itu, maklumat Twitter PLUS menyatakan lorong kanan arah selatan mula dibuka pada 3 petang manakala lorong kiri dan tengah setakat 4 petang masih ditutup bagi kerja-kerja pengalihan kedua-dua treler berkenaan.

Kejadian itu turut mengakibatkan kesesakan teruk dari arah Terowong Menora ke utara tanah air sepanjang kira-kira lapan kilometer.


DUA terler terbakar berhampiran Tereong Menora. FOTO ihsan Bomba

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 5:26 PM