Salman Hamat dan Hamzah Osman


LANGKAWI: Lebih 240,000 pelawat termasuk 42,000 delegasi perdagangan dijangka melawat Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) bermula hari ini hingga 30 Mac.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu pemimpin yang memperkenalkan pameran bertaraf antarabangsa itu akan merasmikan LIMA’19 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) hari ini.

LIMA buat kali pertama dianjurkan pada 1991 berlangsung di Langkawi, sekali gus menjadikan pulau ini sebagai tarikan utama pelancongan dunia.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam Kementerian Pertahanan, Leftenan Kolonel Salawati Yahaya berkata, penganjuran segmen udara kali ini membabitkan penyertaan pesawat tentera dan komersial yang dianggap jumlah terbesar sepanjang edisi penganjuran LIMA.

“Sebanyak 103 pesawat terbabit dalam pameran statik dan persembahan udara. Daripada jumlah itu, 60 peratus pesawat tentera dan agensi keselamatan manakala 40 peratus membabitkan sektor komersial serta awam.

PEKERJA dari syarikat United Aircraft Corporation (UAC) dari Russia melakukan kerja penyudah.

“Peningkatan jumlah penyertaan pesawat komersial hasil usaha Kementerian Pengangkutan,” katanya ketika ditemui semalam.

Salawati berkata, LIMA’19 turut mendapat perhatian lebih 500 wakil media tempatan dan asing yang berkampung di Langkawi untuk membuat liputan sepanjang pameran berlangsung.

Menurutnya, seramai 974 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis kontinjen (IPK) Kedah ditugaskan menjaga keselamatan serta lalu lintas.

Katanya, persiapan untuk LIMA’19 bermula sejak Januari lalu bagi memastikan pameran antarabangsa itu berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Difahamkan, kerja ubah suai di MIEC dilakukan pada Februari manakala kontraktor dan wakil pempamer mengambil bahagian melakukan persiapan sejak minggu lalu.

Sementara itu, segmen maritim LIMA’19 pula membabitkan 104 aset daripada pelbagai negara yang memeriahkan penganjuran kali ini.

LIMA’19 dimeriahkan dengan persembahan udara oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Russian Knight (Tentera Udara Rusia) dan pasukan Jupiter (Tentera Nasional Indonesia).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 8:30 AM
LEBIH 240,000 pelawat termasuk 42,000 delegasi perdagangan dijangka melawat LIMA’19.