CHE Rimi (tengah) bersama isteri, Norakhadah (kanan) dan anak mereka, Che Noorawadah menunjukkan aiskrim lemang dan kerepek lemang yang digemari pelanggan yang dijual di bandar Kuala Terengganu.
Hanneeyzah Bariah Baharin


KUALA TERENGGANU: Kerepek lemang dan aiskrim lemang? Sedap ke? Itu soalan yang sering ditanyakan pelanggan Lemang Anekarasa diusahakan pasangan suami isteri, Che Rimi Husin, 49, dan Norakhadah Yatimin, 46, yang melakukan inovasi menjual aiskrim lemang dan kerepek lemang.

Bagi anda yang belum pernah merasainya, ia mungkin kedengaran pelik, namun bagi yang pernah menikmati pasti ketagih makan aiskrim dan kerepek lemang ini.

Sebelum ini, Lemang Anekarasa mencuri tumpuan pelanggan kerana menjual lemang pelbagai perisa antaranya durian, pisang, nangka, coklat, jagung, daging hitam dan mangga.

Norakhadah berkata, idea menghasilkan aiskrim lemang bermula ketika menyertai eskpo dan program di segenap negeri sering dikunjungi kanak-kanak yang kemudian merengek mahukan aiskrim.

Beliau berkata, teknik membakar lemang yang berbeza daripada cara tradisional iaitu menggunakan dapur moden besi tahan karat yang mempunyai 13 lubang dan menggunakan api gas, menyebabkan kanak-kanak menyangka mereka menjual aiskrim.

“Seringkali gerai kami dikunjungi kanak-kanak yang merengek dan menangis pada ibu bapa mereka mahukan aiskrim kerana dapur moden membakar lemang yang seakan-akan aiskrim goyang.

“Daripada situ terlintas idea untuk membuat aiskrim lemang. Mulanya kami hanya makan sendiri dan berkongsi dengan keluarga terdekat, namun tidak sangka pula selepas cuba menjualnya, ia mendapat sambutan hangat pelanggan.

“Pelanggan boleh memilih perisa lemang disukai sebelum ia dilapisi dengan aiskrim di bahagian atas, serta menambah taburan tambahan seperti coklat, bijirin dan kekacang,” katanya ketika ditemui.

Norakhadah berkata, idea menghasilkan kerepek lemang atau lemang crunchy pula bermula daripada penghasilan makanan ringan seperti inang-inang yang popular di Melaka.

Beliau berkata, aiskrim lemang dijual dengan harga antara RM3 dan RM5 sebekas, manakala kerepek lemang pula dijual dengan harga RM5 untuk setiap pek 150 gram.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 7:30 AM