Sudirman Mohd Tahir


“KAMI buat perkara ini bukan nak untung, tetapi menuntut hak yang sudah kami laburkan,” kata pelakon dan pengacara, Awal Ashaari, 38, selepas menang kes tuntutan saman sebanyak RM345,305 terhadap syarikat D’Haja (M) Sdn Bhd yang menjadi pengedar kedua minyak wangi eksklusif mereka iaitu Blue dan Maroon di Mahkamah Sesyen, Jalan Duta, Kuala Lumpur, hari ini.

Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari berkata, kemenangan itu cukup bermakna buat dia bersama isteri yang juga pelakon popular, Scha Alyahya sekali gus memberi pengajaran kepada pihak lain supaya menjalankan perniagaan secara jujur.

“Kami lega kerana kemenangan berpihak kepada kami dan nasib terbela. Sebelum ini saya pernah buat banyak perniagaan. Banyak kali juga ditipu apabila ada pihak ambil kesempatan. Jadi, pada usia sekarang saya tidak mahu lagi dipijak. Cukup semua ini dan sampai waktu saya perlu bertindak.

“Kepada pengeluar produk dan ahli perniagaan, carilah rezeki dan berniaga dengan berhemah, jujur dan jangan ambil kesempatan atas kelemahan orang lain,” katanya.

Awal juga mengingatkan kepada rakan artis atau mana-mana pihak supaya memahami isi kandungan dan terma perjanjian.

DARI kiri, peguam Datuk M Raja Reza Hassan. FOTO Sudirman Mohd Tahir
DARI kiri, peguam Datuk M Raja Reza Hassan. FOTO Sudirman Mohd Tahir

“Apabila ada sesuatu perjanjian memang kena buat penelitian. Jangan disebabkan terlalu teruja nak buat perniagaan hingga lupa dan terlepas pandang terma penting. Nasihat saya kepada semua yang nak memulakan perniagaan dapatkan khidmat peguam. Pastikan baca dan faham kontrak sebelum yakin untuk meneruskan perjanjian,” katanya.

Sementara itu, Scha berkata, dia trauma dan serik bekerjasama dengan syarikat tempatan.

“Trauma dan serik memang ada, cuma saya ambil perkara ini sebagai pengalaman dan pengajaran untuk lebih berhati-hati.

“Kepada rakan artis lain, jika perkara sebegini terjadi pada diri, anda perlu ke depan. Jangan biarkan ia sentiasa menjadi nasib diri. Ini pengajaran termahal buat kami,” katanya.

Pada 30 April lalu Scha dan Awal selaku plaintif memfailkan saman terhadap D'Haja (M) Sdn Bhd selaku defendan bagi menuntut ganti rugi lebih RM300,000 atas dakwaan melanggar kontrak perjanjian berhubung penjualan produk minyak wangi yang dikeluarkan pasangan selebriti itu.

Berita berkaitan:

  • Sedia selesai cara baik
  • 'Harap selesai cepat' [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 1:16 PM
    AWAL dan Scha di Mahkamah Sesyen Sivil Kuala Lumpur. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
    AWAL dan Scha di Mahkamah Sesyen Sivil Kuala Lumpur. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din