GAMBAR viral Muhammad Aiman Hakim yang dipercayai ditemui dalam tangki air di Felda Palong 12. FOTO Ihsan pembaca.
Abnor Hamizam Abd Manap


“JIKA benar mayat itu adik saya, kami mendoakan supaya rohnya dalam keadaan tenteram,” kata Afiq, 24, yang yakin mayat dalam tangki air di FELDA Palong 12, Pahang, kelmarin adalah adiknya, Muhammad Aiman Hakim Mat Ani, 21.

Katanya, ia berdasarkan pakaian pada mayat lelaki itu.

Malah, mereka sekeluarga dipanggil untuk pengecaman mayat dan memberi keterangan sebaik dimaklumkan polis pada malam penemuan itu.

“Pengecaman ke atas bentuk fizikal sukar dilakukan disebabkan keadaan mayat yang hancur.

“Buat masa ini, mayat disimpan di Bilik Mayat Hospital Jempol sehinggalah ujian DNA (asid deoksiribonukleik) selesai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menceritakan mengenai Muhammad Aiman, Afiq berkata, adiknya adalah penuntut tahun akhir di Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Raub, Pahang yang hilang sejak 9 Julai, tahun lalu.

Katanya, kehilangannya dikesan pada 3 petang selepas keluar dari rumah di Jalan Keratong Indah 16, Desa Keratong Indah, Bandar Tun Razak, Pahang dengan menunggang motosikal Modenas MR1, sendirian.

“Malah, sudah lapan bulan adik tidak pulang ke rumah dan kami sangat terkejut apabila dimaklumkan penemuan mayat itu,” katanya.

Menurutnya, turut menjalani ujian DNA adalah bapanya, semalam ketika hadir membuat pengecaman mayat.

Katanya, mereka sekeluarga sedih dengan kejadian itu apatah lagi Muhammad Aiman sepatutnya menamatkan pengajian tidak lama lagi.

“Laporan kehilangannya dibuat bapa di Balai Polis Bandar Tun Razak kerana ketika dia hilang, saya berada di Simpang Renggam, Johor.

“Adik saya seorang yang pendiam tetapi amat disayangi keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 6:00 PM