MISHA masuk kelas vokal dengan Syafinaz sejak Jun tahun lalu hingga sekarang. FOTO: Nurul Syazana Rose Azman
Ramlah Zainal


KEHEBATAN Misha Omar sebagai penghibur terbukti apabila dia menggenggam trofi Vokal Terbaik buat kali ketiga di pentas berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL) lalu sepanjang berkecimpung dalam bidang nyanyian.

Selain vokal terbaik, lagu Sampai Bila dendangannya dan ciptaan Sharon Paul manakala lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya serta Shah Shamshiri itu turut memenangi tempat ketiga pada AJL ke-33, baru-baru ini.

Namun, kata pemilik nama sebenar, Samihah @ Aisah Omar, 37, kejayaan lagu Sampai Bila itu berkat kerja kerasnya yang bukan sedikit.

“Bukan mudah untuk merakamkan lagu Sampai Bila. Proses rakamannya mengambil tempoh setahun. Ia juga sukar kerana ketika itu saya baru melahirkan anak, Muhammad Idris Ezzwa yang dilahirkan pramatang dan kerap berulang ke hospital kerana kurang sihat.

“Malah, suara saya juga hilang dan terjejas dari segi kenyaringan selepas bersalin,” katanya.

Misha berkata, dia terpaksa mengambil kelas vokal dengan Datuk Syafinaz Selamat untuk mengatasi masalah suaranya yang hilang sebelum ini.

“Saya mengambil kelas vokal dengan Syafinaz sejak Jun tahun lalu sampailah sekarang. Pada masa sama, saya dibantu Syafiq Erwin sebagai tutor termasuk kelas senaman.

“Jadual latihan vokal dengan Syafinaz juga sangat padat dan selang sehari menjelang acara kemuncak AJL33. Bagaimanapun, saya puas kerana dapat memberikan yang terbaik untuk lagu Sampai Bila pada malam AJL33 lalu,” katanya.

Bercerita perancangan lagu baharu pula, Misha berkata, dia masih mencari material yang bagus dan berkualiti untuk kepuasan diri serta peminatnya.

“Bukan mudah untuk mengekalkan momentum sedia ada kerana lagu Sampai Bila mendapat sambutan hangat daripada peminat.

“Ketika pertama kali mendengar lagu Sampai Bila, saya sudah tertarik dengan melodi dan liriknya yang merdu. Lagu genre balada memang sudah menjadi makanan saya sejak dulu,” katanya.

Menurut Misha, dia juga menyerahkan kepada pengurusan Sony Music mencari material yang sesuai untuk lagu terbaharunya nanti.

“Selalunya, saya akan dengar dulu material lagu sedia ada dan selepas itu berbincang dengan pengurusan sama ada ia menepati cita rasa atau sebaliknya,” katanya.

Bagaimanapun, selepas menghasilkan lagu Terimaku Seadanya, dia juga menyepi daripada bidang seni selama setahun kerana fokus kepada dua anaknya dan rumah tangga.

“Sebagai penyanyi yang berstatus ibu kepada dua anak, rutin hidup saya bermula seawal jam 5 pagi setiap hari. Saya perlu uruskan semuanya sendiri kerana suami juga sibuk dengan kerjayanya sebagai juruterbang.

“Anak sulung, Muhammad Adam Emir, 13, pula bersekolah pada waktu pagi dan petang. Anak kedua, Idris masih kecil dan baru mencecah usia dua tahun.

“Sebagai anak yang dilahirkan pramatang, Idris mudah jatuh sakit kerana dia memiliki kulit yang sangat sensitif,” katanya.

Namun, Misha bersyukur kerana anak sulungnya, Adam banyak membantu menjaga adik di rumah.

“Adam tidak banyak ragam dan kerenah sejak kecil. Dia juga banyak meringankan beban saya menguruskan rumah tangga.

“Sebenarnya kita perlu ada ilmu untuk mengambil anak angkat. Ada orang bertanya perbezaan memelihara anak angkat dan anak sendiri. Sebenarnya, ia bukan membabitkan hubungan darah daging semata-mata sebaliknya ikatan cinta dan kasih sayang yang kuat dalam keluarga,” katanya.

MISHA serahkan kepada pengurusan cari material sesuai untuk lagu terbaharunya.

Teruja beraksi di Konsert Soul Sisters

Hanya tinggal seminggu saja lagi, Konsert Soul Sisters 2019 akan menggegarkan Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur, pada 5 dan 6 April ini.

Lebih menarik, konsert unik terbitan syarikat produksi persembahan, Edd Razhe Entertainment (ERE) ini menggabungkan Misha dengan dua lagi penghibur popular iaitu Siti Sarah Raissudin dan Noryn Aziz buat pertama kalinya dalam konsert genre muzik Soul serta R&B.

Menurut Misha, dia sangat teruja kerana konsert ini membabitkan gabungan tiga penghibur dan bukannya persembahan secara individu.

“Kami juga akan menyampaikan rangkaian keseluruhan 33 lagu yang digubah semula oleh Sze Wan dan pengarah muzik, Datuk Nasser Abu Kassim pada konsert yang membabitkan rangkaian lagu genre R&B, soul, era 1970-an serta 1980-an itu. Kami juga akan menyampaikan lagu popular dendangan Whitney Houston,” katanya.

Mengenai lagu popularnya pula, kata Misha, dia akan menyampaikan dengan beberapa lagu sebagai selingan seperti Sampai Bila, Cinta Adam dan Hawa khusus buat peminat.

“Buat masa ini, kami juga sibuk menjalani latihan vokal secara intensif dengan Syafinaz. Selain itu, ia membabitkan latihan dari segi gerakan dengan Alam Wakaka dan kareografi menjelang konsert nanti.

“Dari segi keserasian pula, saya tiada masalah sama ada dengan Sarah mahupun Noryn. Tidak timbul isu siapa yang lebih hebat pada konsert nanti.

“Saya juga bermula di garisan yang sama dengan Sarah pada pembabitan awal dalam bidang nyanyian dulu. Begitu juga Noryn, kerana kami sudah kenal lama dan memang tahu dia penyanyi yang bagus sejak dulu,” katanya.

Selain Syafinaz dan Nasser, konsert ini membabitkan Pengarah Konsert, Jennifer Thompson dan barisan pemuzik berpengalaman seperti Steve Thornton, Zahid, Condrado Coni, John Thomas, Azmi dan Alam Wakaka.

Tiket konsert masih dijual pada harga RM755 (Meet & Greet), RM555 (Diamond), RM355 (Platinum), RM255 (Gold) dan RM155 (Silver).

Ia boleh ditempah menerusi laman web www.airasiaredtix.com. Sebarang pertanyaan mengenai tiket juga boleh dibuat melalui e-mel [email protected]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 5:00 AM