MOTOSIKAL dipercayai milik penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub yang hilang sejak lapan bulan lalu, di ladang kelapa sawit iaitu berhampiran lokasi penemuan mayat dalam tangki air di FELDA Palong 12. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


POLIS menemui motosikal dipercayai milik penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub yang hilang sejak lapan bulan lalu, di ladang kelapa sawit iaitu berhampiran lokasi penemuan mayat dalam tangki air di FELDA Palong 12 di Jempol, semalam.

Motosikal berkenaan ditemui ditinggalkan di kawasan ladang berkenaan yang terletak kira-kira dua hingga tiga kilometer dari tangki air milik Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) itu.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, motosikal jenis Modenas MR1 itu ditemui penduduk sebelum memaklumkan kepada polis kira-kira 10 pagi.

Beliau berkata, berdasarkan semakan awal mendapati motosikal berkenaan dipercayai milik Muhammad Aiman Hakim Mat Ani, 21, yang dilaporkan hilang pada Julai tahun lalu.

“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai penemuan itu. Masih terlalu awal untuk mengaitkan penemuan motosikal itu dengan mayat yang ditemui dalam tangki air.

“Kita perlu menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sebelum siasatan lanjut mengenai kes itu boleh dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut selepas keputusan DNA diperoleh kelak.

Katanya, buat masa ini kes masih diklasifikasi sebagai mati mengejut dan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi.

Harian Metro semalam melaporkan, abang mangsa yang mahu dikenali Afiq, 24, yakin mayat yang ditemui dalam tangki air di FELDA Palong 12 pada Isnin lalu, adalah adiknya berdasarkan pakaian pada mayat lelaki itu.

Penuntut tahun akhir Fakulti Sains Komputer dan Matematik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Raub, Pahang hilang sejak 9 Julai tahun lalu.

Muhammad Aiman keluar dari rumah di Jalan Keratong Indah 16, Desa Keratong Indah, Bandar Tun Razak, Pahang dengan menunggang motosikal Modenas MR1, nombor pendaftaran JRT 916 berseorangan.

Berita berkaitan

Mayat lelaki dalam tangki air

[UPDATE] Polis jumpa tengkorak, cebisan daging

Penduduk enggan minum 'air mayat'

[UPDATE] Biar polis buat kerja

'Jika betul dia, semoga rohnya tenteram'

Harus jika terminum 'air mayat' - Mufti

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 3:29 PM