FATTAH lebih teliti terima tawaran. FOTO: Nurul Syazana Rose Azman
Ardini Sophia Sina


SEJAK mendirikan rumah tangga dengan aktres terkenal, Fazura pada hujung 2017, aktor kacak, Fattah Amin memperlahankan karier seninya. Katanya, situasi itu bukanlah disebabkan persaingan dengan pelakon lelaki lain tetapi ia keputusannya sendiri. Aktor berusia 29 tahun ini memilih untuk lebih teliti menerima tawaran yang datang.

“Tidak dinafikan sejak berkahwin, saya kurang berlakon. Tahun lalu pun saya cuma buat satu drama. Saya yang memilih untuk jarang muncul di televisyen. Apabila sudah berkahwin, tanggungjawab saya sudah ke arah lain.

“Kalau mahu katakan sukar untuk dapatkan watak kerana kehadiran pelakon lain, itu sama sekali tidak benar. Alhamdulillah, tawaran sentiasa ada. Cuma, sekarang saya lebih teliti sebelum terima tawaran.

“Tidak semestinya jarang muncul televisyen itu tiada kerja. Saya pun ada juga perniagaan dan projek lain yang perlu diuruskan,” katanya.

Ketika berada di puncak populariti, Fattah sudah beberapa tahun melalui kehidupan yang padat dengan jadual kerja. Sepanjang tahun, aktiviti hariannya penuh dengan komitmen penggambaran.

Tambahan pula, pelakon yang mula mencipta nama menerusi drama Playboy Itu Suami Aku tidak mahu penonton bosan dengan kekerapannya muncul dalam mana-mana drama.

“Saya pernah dengar komen segelintir orang. Mereka cakap lepas Fattah, Fattah dan Fattah lagi. Namun, itu bukanlah punca utama saya kurangkan pembabitan dalam drama. Saya juga mahu elak bawa watak sama.

“Walaupun saya kata mahu mengehadkan pembabitan, kalau ada tawaran yang datang tidaklah terus tolak. Saya tengok dulu jalan cerita dan watak. Saya pun rasa ralat jika tolak cerita bagus,” katanya.

Inginkan kelainan dalam folio kerja, Fattah menerima tawaran memegang watak Awang menerusi filem epik Mat Kilau yang kini dalam proses pasca produksi. Jika tiada aral melintang, naskhah arahan Syamsul Yusof itu mungkin ditayangkan hujung tahun ini.

Sebagai pelakon yang turut sama menjayakan filem berkenaan, Fattah berharap penat lelah mereka dihargai dan peminat akan menonton filem itu di pawagam sebagai tanda sokongan.


‘SAYA pernah dengar komen segelintir orang. Mereka cakap lepas Fattah, Fattah dan Fattah lagi.’

Sama ada mampu ke carta pecah panggung atau tidak, masih terlalu awal untuk membuat telahan. Kata Fattah, dia bagaimanapun berharap agar karya itu akan mendapat sambutan baik.

“Saya membawakan watak sebagai Awang dalam filem itu. Ia adalah sebuah cerita dan watak berat. Antara cabaran yang saya perlu dilalui adalah menjayakan babak berendam di Sungai Perak pada jam tiga pagi. Kita tahu Syamsul banyak mengarahkan filem berbentuk aksi dan seram dan ini adalah filem epik pertama yang diarahkan.

“Pada saya, naskhah ini akan membawa satu impak baharu dalam dunia perfileman. Pelakon yang turut menjayakan filem ini juga punya nama besar. Sudah pasti saya teruja bekerjasama dengan Datuk Adi Putra, Johan As’ari, Beto Kusyairy, Wan Hanafi Su dan A Galak.

“Kalau mahu katakan pecah panggung, itu adalah rezeki. Bagaimanapun, saya harap peminat akan memberikan sokongan dan karya ini mendapat sambutan hangat,” katanya.

Lumrah pasangan yang sudah berkahwin pastinya soal anak sering dibangkitkan. Bagi Fattah, dia tidak menyalahkan mana-mana individu yang bertanyakan hal itu.

Katanya, itu adalah perkara biasa yang akan dilalui mana-mana pasangan yang sudah berkahwin namun belum dikurniakan zuriat. Andai rezeki itu ada, dia akan kongsi dengan orang ramai.

Bakal tampil dengan single berjudul Paling Sempurna, ia adalah duet kedua bersama Fazura. Dia juga sedang menjalani penggambaran drama berganding dengan Amyra Rosli.

“Rezeki itu semua datang daripada Allah SWT. Insya-Allah, doa peminat mungkin akan dikabulkan. Rezeki adalah perkara yang kita tidak tahu. Insya-Allah, kalau ada saya umum.

“Berkenaan perkembangan baharu, saya sedang menjalani penggambaran dengan Amyra Rosli untuk drama tayangan TV3. Selain itu, lagu berjudul Paling Sempurna akan dilancarkan tidak lama lagi,” katanya.

Kontroversi jejas nama baik

Terpalit dengan kontroversi kurang enak didakwa menipu stokis dan ejen produk makanan kesihatan MRP Sup DIET & Berrytox, Fattah tampil dalam satu sidang media menjelaskan perkara sebenar.

Menurut peguam yang mewakilinya, berdasarkan undang-undang, Fattah tidak mempunyai sebarang liabiliti untuk menyelesaikan masalah berkenaan namun atas dasar tanggungjawab, Fattah berusaha mengembalikan hak stokis dan ejen.

“Sepanjang bekerja saya tidak mempunyai sebarang rekod seperti itu. Saya tampil menjelaskan perkara sebenar kerana tidak mahu dilabel sebagai selebriti yang menipu.

“Tambahan pula, ada antara stokis dan ejen adalah peminat saya. Oleh itu, saya terpanggil untuk membantu mereka. Lagipun, nama saya yang buruk sedangkan di pihak sana selama ini hanya mendiamkan diri,” katanya.

Walaupun dikatakan menipu, Fattah bersyukur kerana setakat ini rezekinya tidak terjejas. Syarikat yang memerlukan khidmatnya bagi mempromosikan sesebuah produk itu masih memberikan kepercayaan.

Bagaimanapun, kejadian itu memberikan pengajaran agar Fattah lebih berhati-hati selepas ini. Dia perlu meneliti setiap perkara sebelum bersetuju untuk menjadi rakan kongsi.

“Alhamdulillah, tidak ada pihak yang mempersoalkan saya berhubung isu berkenaan. Cuma, nama baik saya memang agak terjejas. Individu yang paling terkesan pun adalah saya.

“Perkara ini memang memberikan pengajaran besar. Saya akan lebih berhati-hati selepas ini sebelum bersetuju untuk menjadi rakan kongsi dengan mana-mana individu selepas ini,” katanya.


BAKAL tampil dengan single berjudul Paling Sempurna, ia adalah duet kedua bersama Fazura.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 6:01 AM