MUHAMMAD Nazmi mempunyai masalah paru-paru sempit.
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


PENDANG: Muhammad Nazmi Ammar yang juga bayi Sindrom Down berusia 10 bulan mengharapkan mesin oksigen untuk bernafas memandangkan dia berdepan masalah paru-paru sempit sejak lahir.

Ibunya, Nurul Hana Zakaria, 26, berkata, Muhammad Nazmi kini bergantung kepada mesin oksigen elektrik yang dipinjamkan oleh seorang doktor di Pulau Pinang sejak dua bulan lalu.

Katanya, selain itu, anak bongsu daripada dua beradik itu turut berdepan masalah jantung berlubang dan tiroid.

“Suami, Ammar Abd Razak, 29, tidak mampu membeli mesin itu berikutan hanya bekerja sebagai pembantu kedai dengan gaji kira-kira RM1,000 sebulan.

“Wang itu cukup untuk menampung perbelanjaan harian kami sekeluarga selain berulang ke Hospital Pulau Pulau Pinang dua kali seminggu.

“Kami memerlukan mesin jenis bateri supaya mudah dibawa ke mana-mana dan harganya hampir RM8,000,” katanya ditemui di Kampung Banggol Sanai, Bukit Jenun di sini, semalam.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun BSN milik Nurul Hana di 02003 41 00001240 8.

Menurut Nurul Hana, mesin yang digunakan sekarang perlu dikembalikan bulan depan dan mereka buntu untuk mencari wang bagi membeli mesin berkenaan.

“Selain mesin itu, kami juga perlu membeli topeng oksigen yang berharga RM3,000 dan alat cair kahak dengan kos kira-kira RM2,500,” katanya.

Nurul Hana berkata, dia bimbang tahap kesihatan anaknya akan merosot jika mereka tidak mampu menyediakan mesin itu.

Katanya, mesin oksigen itu akan membantu mengembangkan salur pernafasan Muhammad Nazmi dan jika tidak dipakai, bayi itu akan lemah selain sesak nafas.

“Penyakit anak menyebabkan dia perlu diberi perhatian serius malah suami kerap mengambil cuti apabila anak demam.

“Apabila demam, selalunya paru-parunya dijangkiti kuman dan Muhammad Nazmi akan dimasukkan ke wad beberapa hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 7:30 AM