REN (kiri) dan Canavero berhasrat merawat manusia mengalami kedeceraan saraf tunjang. FOTO/AGENSI
Agensi

Beijing: Pakar bedah, Ren Xiaoping dari China dan Sergio Canavero dari Itali berhasrat merawat manusia yang mengalami kecederaan saraf tunjang yang tidak dapat dipulihkan, menerusi pemindahan kepala manusia pertama di dunia.

South China Morning Post melaporkan, hasil terbaru mereka diterbitkan dalam jurnal saintifik yang menunjukkan monyet dan anjing dapat berjalan semula selepas saraf tunjang ‘putus sepenuhnya’ ketika pembedahan sebelum disambung semula.

Eksperimen berkenaan dijalankan di Universiti Perubatan Harbin di China dengan rakaman video sebagai bukti dan diterbitkan dalam jurnal perubatan Pembedahan Neurologi Antarabangsa.

Ren berkata, penemuan itu membuktikan percubaan ke atas manusia perlu dilaksanakan dan dia sanggup melakukannya di mana saja, bukannya terhad di China, katanya menerusi e-mel.

Eksperimen yang belum terbukti ke atas manusia itu membabitkan penggunaan bahan polyethylene glycol (PEG) untuk membantu pesakit yang saraf tunjangnya cedera dan lumpuh tetapi ia masih meragukan malah teknik dengan penggunaan PEG itu dijadikan asas pemindahan kepala manusia.

Walaupun mereka berjaya melakukan pemindahan kepala ke atas tikus dan anjing, ia menimbulkan persoalan mendalam mengenai etika, psikologi dan pembedahan.

Dua tahun lalu, Canavero mengumumkan akan melakukan pemindahan kepala manusia pertama di dunia di China kerana komuniti perubatan Amerika Syarikat dan Eropah tidak membenarkannya melakukannya di sana.

Prosedur terbabit berharga AS$100 juta (RM408.1 juta) yang membabitkan ratusan doktor pakar dan pakar bedah. Penderma mestilah pesakit yang otaknya mati namun bertubuh sihat untuk dipadankan dengan penerima bebas penyakit.

Penyelidik itu berkata, saraf tunjang penderma dan penerima dipotong dengan pisau berlian. Untuk melindungi otak penerima daripada kematian serta-merta sebelum dicantumkan pada badan, ia akan dibekukan secara hipotermia mendalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 7:00 AM