FASHA Sandha dan Aidil Aziz sah sebagai suami isteri pada 30 Mac lalu. FOTO: @blackpepperproduction


SAMA cantik, sama padan. Itu perumpamaan sesuai bagi menggambarkan ikatan cinta dua jiwa pasangan selebriti, Fasha Sandha dan Aidil Aziz yang akhirnya mengikat janji sebagai suami isteri pada 30 Mac lalu.

Hanya dengan sekali lafaz, majlis pernikahan yang berlangsung pada jam 9.15 pagi di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar, Perlis menjadi bukti termeterainya satu ikatan suci antara dua jiwa.

MAJLIS pernikahan yang berlangsung di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar, Perlis.

Pasangan itu dinikahkan Jurunikah Negeri Perlis, Ustaz Syafiy Zakaria dengan disaksikan keluarga dan sahabat handai.

Dalam majlis yang berlangsung di kampung halaman Fasha, aktres itu menerima mas kahwin RM300 manakala jumlah hantaran dirahsiakan.

Pada hari sama, kegembiraan merpati dua sejoli itu diteruskan dengan majlis resepsi yang diadakan di Dewan Wawasan 2020 dengan kehadiran lebih 500 tetamu jemputan.

Menggayakan busana Rizman Ruzaini, Fasha kelihatan anggun dengan persalinan gaun moden yang mengikut tema pada majlis resepsi itu.

TUANKU Syed Sirajuddin dan Raja Perempuan Perlis, Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan menghadiri majlis.

Apa yang mengujakan, majlis terbabit diserikan dengan kehadiran Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan juga isteri Menteri Besar Perlis, Datin Naraswana.

Sepanjang acara berlangsung, baik Fasha mahupun Aidil tak lekang dengan senyuman menandakan betapa kehidupan kini diulit bahagia.

Fasha menzahirkan rasa syukur apabila majlis pernikahan dan persandingan berjalan lancar malah hidupnya kembali terisi selepas tiga tahun menjadi ibu tunggal.

“Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan. Syukur, saya kini menjadi isteri semula selepas tiga tahun lima bulan menjadi ibu tunggal.

“Tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata betapa bahagianya apabila majlis pernikahan dan resepsi di Perlis berjalan lancar.

“Saya kembali menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan diharapkan mampu menjadi suri hidup Aidil dan ibu yang baik buat anak kami,” katanya.

Mengharapkan mahligai yang dibina berkekalan hingga ke akhir hayat, Fasha turut berdoa agar hubungan dua keluarga akan selalu bahagia.

“Seperti saya katakan sebelum ini, kali ini saya merasai erti perkahwinan sebenar. Barangkali dengan restu keluarga kedua-dua pihak saya dapat rasa kelainan ini dan lebih disayangi.

“Saya dapat rasa inilah keluarga sebenar dan benda yang patut ada dalam hidup setiap wanita. Apa yang penting kena ada restu kedua-dua keluarga.

“Oleh itu, saya mengharapkan hubungan dan mentua akan selalu aman serta bahagia,” katanya.

BERGAMBAR bersama keluarga Fasha Sandha.

Anak kekok

Ditanya mengenai perasaan anak sebaik Aidil sah bergelar bapa mereka, Fasha berkata, Putra Rayfal Ramli, 5 dan Putri Raysha Jemaima, 4 masih kekok untuk memanggil Aidil dengan panggilan ayah.

“Anak menyayangi Aidil dan masing-masing terima cuma sudah terbiasa panggil pak ngah.

“Mungkin mereka perlukan masa untuk membiasakan diri dengan keadaan dan memanggil Aidil sebagai ayah selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, majlis resepsi pihak pengantin lelaki dikatakan bakal berlangsung di Rembau, Negeri Sembilan bulan depan.

Menyentuh mengenai destinasi berbulan madu, Fasha berkata, dia dan Aidil memilih Pulau Langkawi, Kedah.

“Buat masa ini kami merancang berbulan madu di Pulau Langkawi kerana sudah ada komitmen kerja selepas bernikah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 5:30 AM