AISYAH timba pengalaman berharga bekerja dengan Hael dan Ezra sepanjang proses rakaman Bila Entah. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
Ramlah Zainal


DALAM tempoh lima tahun, pelbagai anugerah sudah diraih penyanyi kelahiran Singapura, Aisyah Aziz.

Bukan saja di negara kelahirannya, nama Aisyah yang pernah digilap daripada program realiti popular Akademi Fantasia musim ke-10 juga tidak asing di persada hiburan tanah air.

Terkini, penyanyi cantik berbakat besar ini muncul dengan single terbaharu berjudul Bila Entah khusus buat peminat yang menyokong kembara seninya sejak dulu.

Single Bila Entah yang mendapat sentuhan komposer dan penyanyi terkenal Hael Hussaini serta Ezra Kong kini sudah mencecah tontonan 1.3 juta di YouTube sejak dua bulan lalu.

Menurut Aisyah, 24, dia sangat bersyukur lagu itu mendapat sambutan luar biasa di Singapura dan Malaysia.

“Saya tak sangka lagu itu mendapat sambutan hebat walaupun mengambil tempoh yang singkat diputarkan di stesen radio Singapura.

“Pihak pengurusan juga hanya melancarkan lagu itu di platform digital dan YouTube pada 25 Januari lalu, malah saya juga masih giat mempromosikan lagu ini di Malaysia,” katanya.

Mengulas kekuatan single Bila Entah pula, kata Aisyah, ia membabitkan bait lirik yang ditulis menggunakan bahasa Melayu klasik.

“Lirik lagu Bila Entah banyak diinspirasikan daripada pantun perpisahan dan mengajak peminat berfikir untuk memahami lagu itu.

“Proses rakaman lagu Bila Entah bermula awal November dan rakaman terakhir pada awal Disember 2018.

“Saya juga terpaksa ulang-alik dari Singapura ke Malaysia kerana proses rakaman membabitkan 100 peratus di Malaysia sebelum ini,” katanya.

Pada masa sama, Aisyah akui menimba pengalaman berharga bekerja dengan Hael dan Ezra sepanjang proses rakaman lagu itu.

“Saya sudah lama mahu berkolaborasi dengan mereka dan ini adalah masa yang tepat.

“Mereka komposer dan penulis lagu yang bagus kerana dapat memahami karakter penyanyi dengan baik seperti dihasilkan untuk lagu Bila Entah,” katanya.

Ditanya peluang Bila Entah mara ke anugerah berprestij seperti AJL pula, Aisyah berkata, dia serahkan kepada penilaian peminat.

“Setiap penyanyi mengharapkan yang terbaik untuk setiap produk yang dikeluarkan dan sejauh mana lagu ini diangkat saya serahkan kepada peminat.

“Sekiranya ada rezeki dan peminat rasa lagu ini ada kualiti serta layak bertanding dalam mana-mana majlis anugerah, saya dengan hati terbuka akan menggalas tanggungjawab itu,” katanya.

SINGLE Bila Entah kini mencecah tontonan 1.3 juta di YouTube sejak dua bulan lalu.

Belum puas

Walaupun sudah meraih pelbagai anugerah, Aisyah akui pencapaiannya dalam bidang nyanyian belum konsisten.

“Saya berasa selesa dengan apa dikecapi ketika ini. Pada masa sama, saya akan perbaiki kelemahan untuk menjadi penyanyi yang lebih bagus pada masa akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aisyah juga merancang mengadakan showcase di seluruh Malaysia dan Singapura untuk mengukuhkan namanya dalam bidang nyanyian.

Dia selesai mengadakan persembahan mini di Kuala Lumpur pada 29 dan 30 Mac lalu.

“Ia showcase istimewa bersama peminat baru. Saya menyanyi single baru dan lagu cover bersama kugiran selama sejam,” katanya.

Mengenai karier lakonan pula, kata Aisyah, dia sudah mula membabitkan diri dengan pementasan muzikal di Singapura.

“Sekiranya ada tawaran, saya mahu mengembangkan bakat lakonan termasuk pementasan muzikal di Malaysia pula,” katanya yang kini selesa berambut hitam.

Beralih sisi peribadinya pula, Aisyah enggan mengulas mengenai kekasih mahupun perancangan untuk berkahwin. “Secara peribadi, saya seronok mengenali diri sendiri dengan lebih mendalam terlebih dulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 6:00 AM