Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz dan Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
am@hmetro.com.my


MARAN: “Mak ada beli tiga helai kain batik menerusi rancangan beli-belah di televisyen, tetapi dia kata tidak mahu lalu menyerahkannya kepada saya dan kakak.

“Kebiasaannya apabila membeli, dia akan teruja menunggu barang sampai dan sering bertanya sama ada barangnya sudah sampai atau sebaliknya,” kata Sabarina Ismail, 43.

Sabarina adalah anak kepada Hashimah Ismail, 66, yang maut bersama empat ahli keluarga lain dalam kemalangan di Kilometer 101 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur berhampiran Kampung Semat Batu 14 di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa yang turut maut ialah suami Hashimah, Mohd Noor Che Mat, 78, anak tirinya, Nor Suraya Mohd Noor, 30, suaminya, Musa Abdullah, 31, serta anak mereka, Muhamad Zulkarnain Musa, 3.

Seorang lagi anak Nor Suraya iaitu Nur Quraitun Ain, 5, patah paha kiri dan masih dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

Sabarina berkata, ibunya memang gemar membeli-belah secara atas talian, namun kelakuannya agak pelik kali ini kerana dia tidak mahu barang dibelinya.

“Mak berkata mahu memberikan kain batik itu kepada saya dan kakak. Pada masa itu kami agak hairan melihatnya namun tidak menyangka ia petanda dia akan pergi meninggalkan kami.

“Setiap kali melihat kain batik itu, hati saya menjadi sayu kerana ia adalah peninggalan terakhir mak buat tiga anak perempuannya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jengka di sini, semalam.

Sabarina berkata, ketika kejadian ibunya dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Jengka 6 selepas menghadiri majlis perkahwinan saudara Mohd Noor di Kuala Lumpur.

Katanya, kali terakhir dia berjumpa ibunya pada Khamis lalu dan membawanya keluar makan di Temerloh.

Sementara itu, seorang lagi anak Hashimah, Mohamad Syafiq, 30, berkata dia menyedari kelainan ibunya apabila lebih gemar mendiamkan diri.

“Ibu biasanya seorang periang dan gemar ketawa namun pada malam itu ibu banyak mendiamkan diri dan tidak banyak bercakap.

“Saya ingatkan mungkin ibu keletihan, namun tidak menyangka itu petandanya akan pergi meninggalkan kami,” katanya.

Katanya, ibunya berkahwin dengan Mohd Noor sejak setahun lalu dan tinggal di FELDA Jengka 6.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, siasatan awal mendapati kereta Perodua Myvi dipandu Norsuraya dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Siasatan polis mendapati kereta dipandu mangsa bergesel dengan Proton Iswara selepas memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Toyota Hilux.

“Ketika kejadian mereka dari arah Kuala Lumpur menuju ke FELDA Jengka 6 selepas selesai menghadiri kenduri kahwin,” katanya dalam kenyataan media di sini, malam semalam.

Menurutnya, pemandu Proton Iswara berusia 46 tahun dan pemandu Toyota Hilux berusia 52 tahun tidak cedera.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jenazah Hashimah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Batu 9, Sungai Kepong, Lanchang manakala jenazah mangsa yang lain dikebumikan di Tanah Perkuburan FELDA Jengka 6.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 6:30 AM
LIMA maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Batu 13, Jalan Maran Temerloh.