ANGGOTA Unit Pembangunan Aplikasi Sistem Jabatan Hutan Sarawak memeriksa kayu balak di sebuah kilang kayu di Daerah Sarikei.
Garret Dawum


SARIKEI: Upah orang kampung untuk tebang balak secara kecil-kecilan. Itu taktik terbaharu dilakukan lanun rimba bagi mengaut keuntungan lebih.

Kegiatan itu dipercayai dibuat bagi memudahkan kerja mengangkut balak dari tapak penebangan terus ke tapak pengumpulan selain menyenangkan mereka melarikan diri jika dikesan pihak berkuasa.

Malah, lanun rimba ini memilih kawasan tepi sungai sebagai lokasi melakukan kegiatan haram itu supaya balak yang dikumpul senang dibawa keluar menggunakan kapal kecil.

Taktik pembalak haram menebang pokok di kawasan kecil secara bertompok dipercayai dibuat dengan harapan tidak dapat dikesan pihak berkuasa.

Menerusi operasi perhutanan, Ops Rejang 2 oleh sepasukan pegawai dan anggota Unit Pembangunan dan Aplikasi Sistem (SADU) Jabatan Hutan Sarawak (JHS) yang melakukan tinjauan udara, baru-baru ini mendapati wujud tompokan kecil di sekitar Rejang Mangrove dipercayai hasil kegiatan pembalakan haram.

Hasil pemeriksaan lanjut, puluhan balak ditemui di tapak pengumpulan yang ditebang individu tidak bertanggungjawab di luar kawasan dilesenkan JHS menyebabkan kerajaan negeri terlepas cukai yang sepatutnya dibayar.

Dalam operasi membabitkan pemeriksaan seluas 325,383 hektar itu turut disertai wartawan Harian Metro menemui balak bersaiz kecil dan mencecah harga ribuan ringgit untuk sebatang balak sudah dikumpulkan di kawasan pengumpulan sementara menunggu masa untuk diangkut ke kilang menggunakan kapal kecil.

Ketua Unit SADU JHS Dr Affendi Suhaili berkata, taktik itu dipercayai digunakan sejak beberapa bulan lalu berdasarkan tinjauan udara dilakukan JHS.

“Kawasan di sekitar mula terang dan didapati ia dilakukan secara bertompok-tompok. Malah, puluhan balak sudah dikumpul di beberapa kawasan sebelum diangkut menggunakan kapal kecil.

“Individu terbabit menebang balak dengan jumlah dan saiz yang kecil supaya mereka senang lari. Konsepnya seperti hit and run.

“Apabila aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa, balak yang sudah ditebang akan ditinggalkan dan mereka segera lari menyembunyikan diri,” katanya.

Dr Affendi berkata, sindiket juga dipercayai menggunakan orang kampung yang tinggal berdekatan bagi memudahkan operasi mereka.

“Pemilihan orang kampung dibuat kerana mereka sudah mengetahui laluan melarikan diri jika JHS mengadakan operasi.

“Sebab itu mereka akan mencari lokasi baharu yang berdekatan kampung untuk melakukan aktiviti haram itu, ditambah balak yang ditebang hanya untuk kegunaan sendiri dan akan dijual jika tidak dikesan bagi mencari keuntungan lebihan,” katanya.

Menurutnya, kawasan yang diterokai individu terbabit berterabur dan menyukarkan pihaknya untuk membuat pengesanan.

“Pemantauan secara berterusan memang perlu dilakukan untuk membendung pembalakan haram.

“Setiap kali kawasan yang diragui sudah dikesan, kami akan terus mengadakan pemeriksaan dan memeriksa balak yang ditemui, sama ada mempunyai label dan cop kebenaran mengandungi nombor siri yang dikeluarkan JHS atau sebaliknya,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan risikan serta pemantauan, sindiket balak haram kini semakin terdesak dan sering menukar modus operandi kerana sudah mula ‘panas’ dengan operasi berterusan dijalankan JHS.

“Mereka hanya tahu untuk terus mengaut keuntungan jutaan ringgit memandangkan balak di kawasan yang dibenarkan hanya berbaki saiz kecil dan tidak bernilai tinggi menyebabkan mereka beralih ke kawasan baru walaupun sedar ia adalah kesalahan.

“Bagi mereka, sekiranya tindakan membalak di kawasan haram itu tidak dikesan, habuan jutaan ringgit bakal diperoleh.

“Kami akan sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa lain seperti polis marin, unit keselamatan dan penguatkuasaan negeri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha mengekang kegiatan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 8:23 AM