Lelaki rentung, manakala seorang wanita dan seorang kanak-kanak ditemui mati selepas sebuah rumah berhampiran Restoran Nelayan, Bukit Malut, Langkawi musnah dalam kebakaran hari ini. FOTO NSTP
Hamzah Osman


LELAKI ditemui rentung dalam kebakaran rumah yang musnah 70 peratus berhampiran Restoran Nelayan, Bukit Malut, di Langkawi, hari ini.

Turut maut dalam kebakaran itu seorang wanita dan seorang kanak-kanak.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Kedah, Penguasa Bomba Zamani Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kebakaran itu pada 7.03 pagi dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Persiaran Putra bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, pada mulanya maklumat awal difahamkan semua penghuni berjaya keluar dari rumah terbakar, namun selepas kerja-kerja pemadaman dilakukan menemui satu mayat lelaki rentung.

"Manakala mayat wanita dan seorang lagi kanak-kanak ditemui mati di dalam bilik air.

"Kebakaran dapat dikawal dan punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 8:57 AM