REEN Rahim pastikan setiap lakonan terkesan dihati penonton. FOTO: Aziah Azmee
Norhayati Nordin


SELAMA lapan tahun bergelar pelakon, Reen Rahim, 31, lebih selesa memberi tumpuan pada tuntutan karier berpaksikan minat. Biarpun sedar populariti juga penting untuk terus mendapat perhatian penggiat industri hiburan, Reen tetap percaya bakat mampu membuktikannya.

Reen berkata, dia lebih senang melihat perspektif popular dari sudut bonus. Jika sudah rezeki dia yakin populariti diimpikan akan dimiliki.

“Saya tetap tegas dengan pendirian iaitu pembabitan dalam karier seni kerana minat mendalam pada lakonan. Sejak kecil, saya memang suka berlakon dan bersandarkan tekad itu saya sentiasa pastikan berusaha menampilkan mutu lakonan terbaik.

“Pada saya, berlakon watak utama, pembantu, antagonis atau sebagai penampilan istimewa, ia bukan persoalan yang terlalu diambil kira. Asalkan jalan cerita menarik dan watak sesuai, saya terima saja tawaran berlakon itu kerana tanggungjawab dan minat,” katanya.

Menurut Reen, dia juga sentiasa menitikberatkan aspek kepuasan dalam lakonan. Katanya, dia perlu pastikan setiap babak dilakonkan terkesan dihati penonton. Bagi memastikan perasaan terkesan itu dapat dilakon dengan baik, dia perlu lebih dulu dapat merasakan.

“Kalau saya melakonkan sesuatu watak itu asal boleh saja tanpa perasaan menjiwainya, sudah tentu kena sediakan diri terima kecaman dan kritikan penonton.

“Saya bersyukur kerana nampaknya setakat ini aksi lakonan tidak dikecam sebaliknya diterima baik penonton. Contohnya, watak Suria atau Kak Su dalam drama Pujaan Hati Kanda,” katanya.

REEN juga akan muncul dengan drama baharu di RTM iaitu Ikatan Kasih Pinakol berserta tiga telefilem seperti Kereta Sewa untuk TV3, Van Jenazah (TV3) dan Tebus (RTM).

Reen yang pernah dinobatkan sebagai juara program Pilih Kasih pada 2011, hingga kini sudah membintangi banyak drama termasuk filem. Bagi perjalanan karier lakonan Reen untuk 2019 ini, dia baru selesai menyiapkan penggambaran filem berjudul Mawas.

Reen juga akan muncul dengan drama baharu di RTM iaitu Ikatan Kasih Pinakol berserta tiga telefilem seperti Kereta Sewa untuk TV3, Van Jenazah (TV3) dan Tebus (RTM).

Ditanya mengenai peribadi, Reen enggan mengulas lanjut kisah cintanya dengan pemuda yang kini membina kerjaya di Scotland kerana lebih selesa meletakkan karier lakonan di hadapan.

Katanya, pengakuan bercinta pernah dibuat sebelum ini sudah cukup.

Selebihnya, soal jodoh biarlah Allah yang tentukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 5:30 AM