SITUASI tegang berlaku di antara peniaga dengan DBKL ketika proses pengundian lot tapak berniaga Bazar Ramadan 2019 di Jalan Raja, Dataran Merdeka di Stadium Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


PROSES pengundian tapak Bazar Ramadan Jalan Raja kecoh apabila kira-kira 300 peniaga membantah pemindahan tapak asal dari Jalan Tuanku Abdul Rahman ke ke lokasi berkenaan.

Insiden bermula apabila sekumpulan peniaga menyerbu pentas pengundian ketika proses itu berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini, semalam.

Mereka menjerit dan meminta dibenarkan berniaga di tapak asal di Jalan Tuanku Abdul Rahman sehingga mencetuskan ketegangan.

Bagaimanapun, keadaan tegang itu berjaya ditenangkan selepas pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberhentikan proses pengundian.


PENIAGA memeriksa borang sebelum proses pengundian lot tapak berniaga Bazar Ramadan 2019.

Kira-kira 10 wakil peniaga kemudian berunding selama setengah jam namun menemui jalan buntu dan gagal mencapai kata sepakat apabila bantahan mereka tidak diterima DBKL.

Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, sebelum proses pengundian dilakukan, peniaga yang memohon tapak berkenaan diberitahu akan berniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

“Bagaimanapun, seminggu sebelum proses pengundian dilakukan, peniaga diberitahu tapak berkenaan akan bertukar ke Jalan Raja.


PENIAGA beratur untuk menyertai proses pengundian lot tapak berniaga.

“Jika di Jalan Tuanku Abdul Rahman terdapat lebih 400 tapak untuk peniaga, tapi di tapak baru (Jalan Raja) hanya 225 tapak disediakan,” katanya ketika ditemui lokasi pengundian di sini, semalam.

Rosli berkata, seramai 1,400 peniaga yang memohon tapak secara dalam talian berbanding hanya 225 tapak disediakan.

“Kita juga mempersoalkan jika di Jalan Raja, di manakah tapak untuk berniaga namun mereka (DBKL) masih belum mempunyai pelan tapak.

“Mereka memaklumkan terdapat bantahan daripada pekedai di Jalan Tuanku Abdul Rahman menyebabkan ia dipindahkan,” katanya.


PENIAGA hadir untuk menyertai proses pengundian lot tapak berniaga Bazar Ramadan 2019 di Stadium Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 7:00 AM