Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


PERBICARAAN tujuh kes jenayah dihadapi Datuk Seri Najib Razak membabitkan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi di sini, tetap diteruskan petang ini.

Perkara itu disahkan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili bekas Perdana Menteri berkenaan ketika dihubungi, di sini, semalam.

Ia berikutan Mahkamah Persekutuan mendengar permohonan semakan yang dikemukakan mereka hanya pada keesokannya.

Isnin lalu, Najib mengemukakan permohonan menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang tidak membenarkan beliau menangguhkan perbicaraan membabitkan dana SRC International itu.

Difahamkan, ketika prosiding perbicaraan nanti kenyataan pembukaan dibacakan Peguam Negara, Tommy Thomas dan diikuti keterangan saksi pertama, namun ia bergantung kepada kelancaran prosiding.

Kenyataan saksi juga disediakan dan selepas ia disahkan saksi, pihak pembelaan akan memulakan pemeriksaan balas mereka.

Sumber juga memaklumkan, tiga saksi dipanggil membabitkan pegawai kerajaan dan mereka sudah disapina sejak Jumaat lalu.


NAJIB Perdana Menteri Malaysia yang keenam ialah bekas Perdana Menteri pertama diheret ke mahkamah. FOTO/NSTP

Najib, 66, Perdana Menteri Malaysia yang keenam ialah bekas Perdana Menteri pertama diheret ke mahkamah.

Prosiding bicara itu sebelum ini sepatutnya didengar 33 hari bermula 12 Februari lalu hingga 28 Februari dan 4 Mac hingga 29 Mac lalu namun ditangguhkan berikutan Najib mengemukakan empat rayuan interlokutori di Mahkamah Rayuan.

Najib yang mengaku tidak bersalah akan dibicarakan atas tujuh pertuduhan merangkumi kesalahan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram.

Ia sebahagian daripada 42 pertuduhan dihadapi Najib yang sudah enam kali dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan sama, tetapi dana berbeza.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa pada 4 Julai tahun lalu atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos 2018 pula, beliau dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dan daripada dana sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 8:03 AM