NORFADILLA Che Par, 28, memangku anak sulungnya, Muhamad Syahmi yang berusia empat bulan di luar wad selepas sedar dari koma akibat melahirkan anaknya itu sejak November tahun lalu dan kini masih menerima rawatan susulan di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu. FOTO Ihsan Keluarga
Muhamaad Razis Ismail


SEJAK lahir terpisah dengan ibunya yang koma akibat komplikasi pembedahan ketika melahirkannya, bayi lelaki berusia empat bulan akhirnya dipertemukan dengan ibunya yang sudah sedar daripada koma, semalam.

Muhamad Syahmi Mohd Saiful dipertemukan dengan ibunya, Norfaidilla Che Par, 28, di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital terbabit.

Sepanjang dua jam pertemuan itu, Norfaidilla yang masih tidak mampu bercakap dilihat menangis teresak-esak sehingga mengeluarkan suara kerana terlalu gembira apabila anak yang dilahirkannya empat bulan lalu diletakkan di pangkuannya buat kali pertama.

Biarpun Norfaidilla tidak dapat bergerak, dia dilihat berusaha untuk mencium anak sulungnya itu sambil dibantu oleh suaminya Mohd Saiful Sudin, 30.

Muhamad Syahmi yang pada mulanya tersenyum, turut menangis seolah-olah mengerti perasaan ibunya itu.

Mohd Saiful berkata, sebelum ini, dia sudah beberapa kali meminta kebenaran daripada pihak hospital untuk mengatur pertemuan itu, namun terpaksa ditangguhkan dengan mengambil kira keadaan isteri.

Katanya, bagaimanapun beberapa hari lalu, dia mendapat khabar gembira apabila doktor memberi kebenaran selepas isterinya beransur pulih 80 peratus.

“Pertemuan dibuat di luar wad untuk mengelakkan bayi kami terkena jangkitan di wad. Saya dan ahli keluarga lain turut sebak melihat isteri menangis teresak-esak apabila anak diletakkan di pangkuannya buat kali pertama.

“Selama tempoh dua jam itu, isteri menangis tidak berhenti-henti kerana sebelum ini saya hanya mampu menunjukkan gambar anak kepadanya sahaja.

“Semalam adalah kali pertama isteri dapat menyentuh anak selepas 138 hari koma di hospital,” katanya ketika ditemui di HRPZ II di sini, hari ini.

Muka depan Harian Metro pada 14 Januari lalu melaporkan seorang wanita koma apabila mengalami komplikasi ketika menjalani pembedahan untuk melahirkan anak sulungnya pada November tahun lalu.

Bayi itu bagaimanapun selamat dilahirkan dengan berat 3.7 kilogram serta dalam keadaan sihat.

Menurutnya, isterinya mula menunjukkan perkembangan positif sejak Januari lalu.

“Dua bulan selepas koma, doktor terpaksa membuat pembedahan memasukkan tiub di leher isteri untuk pernafasan dan selepas hampir dua minggu isteri mula memberi tindak balas.

“Apabila namanya dipanggil, dia sudah boleh memalingkan muka dan doktor pun maklum yang isteri sudah sedar daripada koma, namun masih memerlukan pemantauan rapi,” katanya.

Mohd Saiful berkata, dia bersyukur sejak berita mengenai penderitaan isterinya dipaparkan di Harian Metro, ramai pihak tampil menghulurkan bantuan.

“Saya turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang dapat membantu meringankan beban kami sekeluarga selepas saya bercuti tanpa gaji untuk menjaga isteri.

“Terima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus mendoakan kesihatan isteri, hanya tuhan yang dapat membalasnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 2:14 PM