SAINGAN sengit tiga drama, Jangan Benci Cintaku, Andainya Takdir 2 dan Nur beri impak tular di luar jangkaan.
Amirul Haswendy Ashari


MALAM esok peminat drama tempatan bakal menyaksikan drama bersiri mana yang akan menggondol trofi untuk 10 kategori utama dalam Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) jam 9 malam dan ditayangkan secara langsung di TV3.

10 kategori itu adalah Drama Pilihan, Pengarah Pilihan, Penulis Skrip Pilihan, Aktor Pilihan, Aktres Pilihan, Antagonis Pilihan, Pasangan Pilihan, Drama Rantaian Berbahasa Cina Pilihan, Drama Pendek Pilihan dan Lagu Pilihan.

Yang paling dinantikan ialah lima kategori iaitu Drama Pilihan, Aktor Pilihan, Aktres Pilihan, Antagonis Pilihan dan Pasangan Pilihan.

Kategori Lagu Pilihan yang menjadi runut bunyi drama juga turut menjadi perbualan kerana ada antara lagu dicalonkan turut bertanding di Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) lalu.

Antaranya Sampai Bila (Misha Omar), Jatuh Bangun (Haqiem Rusli & Aman RA) dan Tak Pernah Hilang (Amylea & Kaer Azami). Bagi menghangatkan perbualan peminat drama tempatan, Bling! minggu ini berkongsi sedikit ramalan awal calon manakah yang bakal bersaing sengit pada DFKL 2019.

Saingan sengit Nur, Jangan Benci Cintaku dan Andainya Takdir 2

Bukan perkara mustahil melihat tiga drama ini bersaing sengit kerana memberi impak tular di luar jangkaan ketika ditayangkan tahun lalu.

Jika melihat dari segi populariti, Jangan Benci Cintaku dan Andainya Takdir 2 berjaya mencatat 12 juta tontonan, manakala Nur arahan Shahrulezad Mohameddin pula mencatat 11 juta tontonan.

Bagaimanapun, jika dilihat dari segi impak kepada masyarakat dan naratif yang unik, Nur mempunyai kelebihan kerana mengangkat tema kemasyarakatan yang sensitif lagi unik.

Tambahan pula drama Nur 2 sedang ditayangkan, sekali gus boleh menjadi ‘pemboleh ubah’ kepada kedudukan drama Nur membawa pulang Drama Pilihan.

Selain tiga drama itu, drama lain yang tidak kurang hebatnya adalah Kekasih Paksa Rela, Seribu Rindu, Raisha 2, Terbaik Dariku, Semerah Cinta Humairah dan Dian.


Andainya Takdir 2 turut berjaya mencatat 12 juta tontonan.

Shukri Yahaya, Zahirah MacWilson diramal Aktor dan Aktres Pilihan

Dua pelakon ini ada potensi besar untuk menang kategori Aktor dan Aktres Pilihan.Shukri berjaya mengulang perhatian penonton melalui drama Andainya Takdir 2 selepas pernah berbuat begitu melalui Andainya Takdir, dua tahun lalu.


SHUKRI mempunyai potensi besar untuk Aktor Pilihan.

Malah, dia pernah bawa pulang kategori Aktor Pilihan melalui drama 7 Hari Mencintaiku pada DFKL 2017 lalu.

Manakala Zahirah pula, walaupun belum pernah menang dalam siri DFKL sebelum ini, dianggap calon yang mampu memberi kejutan malam esok kerana lakonan berkesan melalui drama Jangan Benci Cintaku.

Pun begitu, jangan pandang sebelah mata pada beberapa pelakon lain yang turut tercalon seperti Saharul Ridzwan (Jangan Benci Cintaku), Syafiq Kyle (Nur) dan Fahrin Ahmad (Semerah Cinta Humairah).

Untuk aktres pilihan pula seperti Nina Iskandar (Andainya Takdir 2), Amyra Rosli (Nur) dan Janna Nick (Semerah Cinta Humairah).


ZAHIRAH antara yang menjadi pilihan diramal sebagai Aktres Pilihan.

Nek Pah, Husna dan Ustaz Hamadi rebut Antagonis Pilihan

Nek Pah lakonan Azizah Mahazan (Jangan Benci Cintaku), Husna (Niena Baharun - Jangan Benci Cintaku) dan Ustaz Hamadi (Azhan Rani - drama Nur) dibenci penonton.

Malah, ia menjadi bualan peminat drama tempatan sehingga ada yang mewujudkan pelbagai ‘hashtag’ atau tanda pagar menyatakan kebencian mereka.

Apabila ada yang membenci pada watak itu, ia menjadi penanda aras lakonan mereka berkesan. Bagaimana pun, jika melihat dari segi permainan watak, Ustaz Hamadi jauh lebih menarik dan luar kotak, berbanding watak Nek Pah dan Husna lebih mengikut ‘buku’ sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 5:00 AM