BAS pekerja itu yang menjunam ke dalam longkang sedalam 10 meter. FOTO/IHSAN BOMBA
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


SEPULUH individu termasuk dua wanita maut selepas bas pekerja dinaiki mereka menjunam ke dalam longkang di Jalan S8 Pekeliling berhampiran MASKargo, Sepang, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.10 malam itu, lapan penumpang warga asing dan seorang pemandu bas tempatan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang penumpang wanita warga asing disahkan maut ketika menerima rawatan di Hospital Serdang.

Ketua Polis Daerah KLIA Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, siasatan awal mendapati bas terbabit yang membawa 43 penumpang warga asing yang juga pekerja kontrak MASKargo dalam perjalanan ke tempat kerja dari asrama mereka di Nilai, Negeri Sembilan.

“Difahamkan semua pekerja terbabit sepatutnya masuk bekerja pada syif 12 tengah malam.

“Siasatan awal mendapati bas terbabit hilang kawalan sebelum menjunam ke dalam longkang sedalam 10 meter. Kemalangan itu menyebabkan sembilan mangsa termasuk pemandu bas itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang penumpang wanita disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Serdang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Zulkifli berkata, 34 penumpang yang cedera dikejarkan ke Hospital Serdang, Hospital Putrajaya, Hospital Banting dan Hospital Kajang untuk rawatan lanjut.


SEMBILAN mangsa termasuk pemandu bas disahkan maut di lokasi kejadiam dalam kemalangan itu. FOTO/IHSAN BOMBA

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Operasi menyelamat mangsa turut dibantu pihak bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kesihatan Malaysia dan polis bantuan MASKargo,” katanya.

Turut berada di lokasi kejadian adalah Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari’at.

Sementara itu, Ketua Zon Lima (Selangor Selatan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Nik Mohd Fadhil Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 11.16 malam tadi.

“Seramai 38 pegawai dan anggota bersama tujuh jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA, BBP Cyberjaya dan BBP Sepang dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami mendapati bas berkenaan berada di dalam longkang berkenaan. Kami melakukan pemeriksaan di lokasi sebelum menstabilkan keadaan bas terbabit terlebih dulu bagi mengeluarkan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa memotong beberapa bahagian bas terbabit bagi mengeluarkan masa yang tersepit.

“Kami mengambil masa kira-kira satu jam bagi mengeluarkan mangsa menggunakan kaedah ‘hauling’ iaitu menggunakan tali penyelamat, tangga serta pengusung bagi membawa keluar mangsa.

“Mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak hospital bagi mendapatkan rawatan, manakala mayat mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 4:04 AM