ZAYAN bersama ibu bapanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tebakang, semalam. Gambar kecil, foto Zayan  bersama  seorang guru yang tular di media sosial.
ZAYAN bersama ibu bapanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tebakang, semalam. Gambar kecil, foto Zayan bersama seorang guru yang tular di media sosial.
Ahmad Rabiul Zulkifli


MEMPUNYAI ketinggian 80 sentimeter dan berat hanya 12 kilogram (kg) sudah cukup menggambarkan keunikan fizikal seorang murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Tasik, Bukit Payong di sini, berbanding rakan seusianya.

Mohd Syazwi Zayan Zamri, 7, yang dilahirkan ibunya, Shazila Che Syafie, 34, tidak cukup bulan pada 20 Julai 2012 kini membesar tanpa masalah dan sering menjadi perhatian ramai kerana saiznya yang kerdil.

Shazila berkata, dia dan suaminya, Zamri Ismail, 44, sedia maklum mengenai saiz anak tunggalnya ketika mengandung dan apabila dillahirkan ketika berusia tujuh bulan dengan berat hanya 1.4 kg, anaknya tidak mengalami sebarang masalah.

“Saya bersyukur kerana Zayan tidak mengalami masalah cuma terpaksa di tahan di wad selama dua bulan kerana tidak cukup bulan dan perlu dipantau.

“Sehingga kini, Zayan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan dan membesar dengan baik dan kini bersekolah seperti kanak-kanak seusianya.

“Memandangkan saiznya kerdil, Zayan dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) fizikal dan disarankan memasuki sekolah pendidikan khas, tetapi masih dalam proses penelitian terakhir bagi menilai perkembangannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tebakang, semalam.

Katanya, dia berharap saiz anaknya itu tidak dijadikan alasan untuk meminggirkan anaknya dalam setiap aktiviti selain tidak diberikan layanan berbeza.

“Saya dan suami juga dilahirkan kerdil malah bersaiz sama seperti Zayan ketika berusia tujuh tahun, jadi kami tidak mahu dia melalui apa yang kami rasa sebelum ini.

“Apabila bersaiz kecil berbanding orang lain, pastinya menjadi perhatian selain ada murid nakal mengambil kesempatan membuli kami dan kami harap Zayan tidak mengalami nasib sama seperti apa yang dilalui kami ketika zaman persekolahan,” katanya.

Bagi Zamri, walaupun tidak dapat menyembunyikan rasa bimbang akan keselamatan anaknya termasuk layanan dan penerimaan masyarakat, anaknya perlu belajar berdikari dan menghadapi dunia luar tanpa ibu bapa di sisi.

“Saya dan isteri berasa bertuah kerana sepanjang Zayan berada di sekolah, semua cikgu memberi perhatian kepadanya malah sepupunya yang turut bersekolah di sekolah yang sama membantu menjaganya.

“Setiap kali mengunjungi tempat tumpuan awam, masyarakat akan teruja apabila mengetahui Zayan berusia tujuh tahun, tetapi bersaiz kerdil sebelum merakam gambar,” katanya yang bekerja sebagai mekanik.

Zamri berharap anaknya itu tidak mengalami sebarang masalah kesihatan dan membesar dengan sihat seperti kanak-kanak lain.

“Bagaimanapun, Zayan akan menjalani pemeriksaan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu pada akhir Mei ini kerana keadaan kepala Zayan yang agak besar sedikit itu dibimbangi mempunyai kantung air,” katanya.

Sebelum ini, Zayan yang bersaiz kerdil menjadi perhatian ramai selepas gambarnya berbaju sekolah lengkap bertali leher bersama seorang guru tular di Facebook sehingga menerima banyak tanda suka dan pujian netizen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 7:01 AM