MAYAT yang dibawa keluar dari dalam bas ditempatkan di kawasan lapang.
Amir Abd HamidMohd Husni Mohd NoorNorizuan Shamsuddin dan Siti A’isyah Sukaimi dan Nurul Hidayah Bahaudin

SERAMAI 12 individu termasuk empat wanita maut selepas bas pekerja dinaiki mereka menjunam ke dalam longkang sedalam 10 meter di Jalan S8 Pekeliling berhampiran MASkargo di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.10 malam, lapan penumpang warga asing dan seorang pemandu bas tempatan disahkan maut di lokasi kejadian.

Manakala, tiga penumpang wanita warga asing pula disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Serdang dan Hospital Putrajaya.

Semua 12 individu yang meninggal dunia ialah lapan lelaki dan empat wanita.

Lima daripada mangsa terdiri lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga Nepal, empat wanita Indonesia dan seorang lelaki tempatan yang juga pemandu bas terbabit.

Seramai enam mangsa parah menerima rawatan di wad Hospital Serdang, Hospital Putrajaya, Hospital Banting dan Hospital Kajang.

Ketua Polis Daerah KLIA Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, siasatan awal mendapati bas terbabit membawa 43 warga asing yang juga pekerja kontrak MASkargo dalam perjalanan ke tempat kerja dari asrama mereka di Nilai, Negeri Sembilan.


BAS pekerja yang membawa 43 pekerja warga asing terjunam ke dalam longkang berhampiran MASkargo.

“Siasatan awal mendapati bas terbabit hilang kawalan sebelum menjunam ke dalam longkang sedalam 10 meter.

“Malah, laluan digunakan pemandu bas terbabit adalah berbeza berbanding laluan yang perlu dilalui untuk menghantar pekerja ke MASkargo,” katanya.

Menurutnya, setakat ini polis masih menjalankan siasatan berhubung laluan digunakan pemandu bas terbabit dan semakan awal mendapati dia tidak mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan lalu lintas.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Zon Lima (Selangor Selatan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Nik Mohd Fadhil Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.16 malam kelmarin.

Menurutnya, seramai 38 pegawai dan anggota bersama tujuh jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA, BBP Cyberjaya dan BBP Sepang dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami mendapati bas berkenaan berada di dalam longkang lalu melakukan pemeriksaan sebelum menstabilkan keadaan bas terbabit bagi mengeluarkan mangsa.

“Anggota bomba terpaksa memotong beberapa bahagian bas terbabit bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 6:31 AM