IBU banyak suntik semangat selepas kembali berstatus solo. FOTO: Syarafiq Abd Samad
Ramlah Zainal


SELEPAS berkongsi berita perceraiannya dengan pemuzik Indonesia, Bayu Pramana Putra Achmal dengan pihak media dan peminat pada Januari lalu, Jue Aziz kini meneruskan kehidupannya seperti biasa.

Menurut pemilik nama sebenar Zuliana Abd Aziz, 36, fokus dan keutamaannya sekarang adalah membesarkan anak angkatnya, Darwish Naufal, 7, sebaik mungkin.

“Alhamdulillah, saya sudah mendapat kekuatan dan menyesuaikan diri dengan status solo. Emak yang banyak menyuntik kekuatan ketika saya berdepan ujian itu.

“Semuanya sudah selesai cara baik dan saya banyak bermuhasabah diri serta belajar daripada kesilapan.

“Terus terang, saya kini wanita dan ibu yang lebih kuat untuk menempuh hari mendatang,” katanya.

Mengenai pengganti, Jue berkata, buat masa ini dia belum memikirkan perkara itu kerana mahu tumpukan sepenuh perhatian terhadap putera kesayangannya.

“Saya perlu bekerja keras untuk membesarkan anak selepas bergelar solo. Saya juga kembali merancakkan bidang lakonan dan baru selesai penggambaran drama Mana Ada Hantu Malam Raya.

“Selain itu, saya juga fokus mengusahakan bisnes produk kencantikan jenama sendiri.

“Saya akan lebih berhati-hati kerana pernah ditipu rakan kongsi sebelum ini. Pada masa sama, saya juga merancang membantu golongan kurang bernasib baik seperti anak yatim menerusi produk kecantikan yang diusahakan,” katanya.

Jue ditemui pada majlis sambutan hari lahirnya bersama kelab peminat yang berlangsung di ibu kota baru-baru ini.

Tubuh kelab peminat

Jue mengakui dirinya bertuah kerana mendapat sokongan peminat setia ketika berdepan kemelut rumah tangga.

“Saya bersyukur kerana masih ramai peminat yang memberi kata-kata semangat untuk bangkit dan kembali merancakkan industri seni.

“Maklumlah, saya sudah lama menyepi dan tak sangka masih ramai peminat menyokong saya hingga ke hari ini.

MAJLIS sambutan hari lahir Jue bersama kelab peminat.

“Saya juga seronok dapat berinteraksi dengan peminat yang semuanya sangat positif dan sentiasa bersangka baik. Malah, ramai peminat tidak percaya dengan karakter saya yang ‘gila-gila’,” katanya.

Mengulas penubuhan Jue Aziz Fun Club, Jue berkata ia khusus untuk mereka yang setia menyokong kembara seninya sejak dulu.

“Idea menubuhkan kelab peminat tercetus sejak saya aktif bersiaran secara langsung di laman Instagram dan berkongsi perkembangan serta aktiviti terkini bersama peminat.

“Sudah sampai masanya saya menubuhkan kelab peminat ini untuk menghargai sokongan dan kasih sayang mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 5:30 AM