TRELER yang diubah identiti yang berjaya ditemui.
Mahaizura Abd Malik


KIKIS, reka semula nombor casis dan cat untuk menukar identiti treler sebelum dijual kepada pembeli.

Itu tindakan licik sekumpulan individu dikesan bergiat aktif menjalankan kegiatan mencuri treler milik syarikat haulier di sekitar Lembah Klang sejak lebih 10 tahun lalu.

Taktik dipercayai didalangi seseorang yang mahir dalam industri haulier itu dihidu pemilik syarikat haulier yang mencurigai kesan perubahan pada nombor chasis serta treler yang dicat baharu selepas berjaya menjejaki kenderaan mereka.

Pengurus Syarikat Swift Haulage Sdn Bhd, Thomas Ramadas berkata, pihaknya cuma berjaya mengesan dua daripada 30 treler milik syarikatnya yang hilang diubah dan diberi ‘identiti’ baharu.

“Dalam kes kami, treler diparkir di luar kawasan syarikat ditemui ketika beberapa individu sedang mengecat treler kami di sebuah bengkel.

“Kami syak ada orang tengah yang mendalangi kegiatan ini sebelum menjual treler itu kepada seseorang dari industri haulier sendiri pada harga separuh harga daripada harga asal.

“Kita juga pelik, bagaimana mereka boleh buat nombor casis baharu, daftarkan sebagai treler baharu kemudian boleh perbaharui cukai jalan dan beroperasi untuk syarikat baharu macam tiada apa-apa kesalahan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya kerugian hampir RM1.12 juta selepas baki 28 treler yang hilang gagal dikesan sampai sekarang sama ada ditukar identiti baharu mahupun dijual kepada peraih besi buruk.


NOMBOR casis treler yang sudah dikikis.

“Kalau hendak beli baharu kami perlu keluarkan lagi RM40,000 untuk sebuah treler.

“Isunya, jika hilang bukan semua boleh buat tuntutan insurans kerana treler kami didaftarkan atas pihak ketiga, jadi apabila hilang disebabkan kecuaian maka kita tidak boleh tuntut insurans kecuali hilang di tempat pelanggan.

“Kami terpaksa mendaftarkan 1,400 buah treler kita atas pihak ketiga kerana lebih murah iaitu RM400 sebuah berbanding jika semua hendak didaftarkan insurans pihak pertama memakan kos tinggi antara RM3,000 sebuah treler,” katanya.

Katanya, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan bersepadu berdasarkan pelbagai aspek untuk melumpuhkan kegiatan berkenaan.

“Rondaan lebih kerap perlu digiatkan di kawasan panas terutama di Sungai Buloh, Kepong, Puchong dan Pelabuhan Klang terutama pada jam 2 hingga 5 pagi.

“Kami juga mahu lesen mana-mana bengkel haram yang bersubahat mengubah suai treler curi itu digantung atau ditarik balik sebagai hukuman.

“Selain itu, kami berharap pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan lebih terperinci ke atas dalaman treler termasuk nombor chasis bagi mengesan treler curi yang diubah suai bukan hanya memfokuskan pemeriksaan rutin dokumen seperti permit, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan cukai jalan saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 6:20 AM