OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) Mohammad Ashraf diteruskan.
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


SEMALAM memasuki hari ke-18 kehilangan Mohammad Ashraf Hassan, 29, namun ahli keluarganya masih setia menjejaki pemuda itu di sekitar kawasan panas Gopeng Ultra Trail 2019 di sini.

Pencarian bermula dari Bukit Batu Putih, Gua Tempurung, Gua Kandu dan sekitarnya turut disertai ibunya, Siti Maznah Khamis, 62, yang mempunyai masalah jantung.

Bagaimanapun, abang Mohammad Ashraf, Mohd Zahiruddin, 35, berkata, ibu mereka terpaksa pulang baru-baru ini kerana menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Emak sudah pulang untuk rawatan kesihatannya tapi saya dan ahli keluarga lain akan teruskan pencarian di sini dan tidak akan berhenti sehingga Acap (Mohammad Ashraf) dijumpai.

“Buat masa ini kami masih meronda di kawasan bukit dan berharap akan menemui petunjuk atau bukti,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


MUFTI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (kanan) bersalaman dengan pegawai bomba. FOTO/NSTP

Mohd Zahiruddin berkata, pencarian mereka turut dibantu rakan, penduduk kampung, polis dan bomba.

Dalam pada itu, dia turut memuat naik status di Facebook (FB) melahirkan kekecewaan atas sikap segelintir pengamal perubatan yang menggunakan ritual pelik seperti penyembahan dan pemujaan dalam usaha mencari Acap.

Katanya, tindakan itu menyebabkan pihak pengurusan rekreasi menghentikan bantuan dewan mahupun tapak perkhemahan kepada mereka, malah menyukarkan sukarelawan lain yang datang untuk membantu mencari dan menyelamat (SAR).

Turut dijelaskan kemudahan itu, satu-satunya tempat untuk sukarelawan berkongsi maklumat, solat dan rehat selepas penat meredah hutan.

“Kini sudah tiada tempat untuk pemantauan data dan sebagainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 6:30 AM