Redzuan Muharam


“SAYA tidak pernah menyalahkan takdir jauh sekali kesal sebaliknya bersyukur kerana dipilih Allah S.W.T untuk menjaga anak syurga walaupun bukan mudah memikul amanah ini,” kata ibu tunggal, Norzelawati Abdul Kadir, 44, yang dikurniakan tiga anak orang kurang upaya (OKU) dan membesarkan mereka bertiga sendirian sejak berpisah dengan bekas suami pada Januari 2012.

Norzelawati berkata, meskipun tanggungjawab itu mencabar untuk digalas, dia cekalkan hati memastikan ketiga-tiga anak kandungnya, Nur Maya Diyana, 24, Muhammad Danial Ikhwan, 22 dan Zurainis, 17, mendapat kasih sayang dan keperluan termasuk pendidikan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

Menceritakan pengalamannya, Norzelawati berkata, dia melahirkan Nur Maya Diyana ketika berumur 19 tahun dan tidak tahu anak sulungnya itu mempunyai mild autisme sehingga doktor mengesahkannya.

“Nur Maya Diyana dilahirkan pramatang namun keadaannya sihat selepas dibawa keluar dari hospital.

“Cuma, dia lebih suka menyendiri dan pada mulanya, saya sangkakan perkara itu normal sehingga saya melihat tumbesarannya perlahan yakni tidak bercakap serta berjalan seperti kanak-kanak seusianya.

“Bagi mendapatkan kepastian, saya membawanya ke klinik sebelum dirujuk ke hospital bagi pemeriksaan lanjut dan ketika itulah, doktor mengesahkannya menghidap mild autisme iaitu ketika dia berumur dua tahun,” katanya ketika ditemui di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang di sini, semalam.

Wanita berasal dari Jengka, Pahang itu berkata, dia terus diuji apabila dikurniakan zuriat kedua, Muhammad Danial yang dilahirkan normal sebelum disahkan menghidap Cerebral Palsy diikuti anak bongsu, Zurainis, 17, mempunyai mild autisme, sama seperti Nur Maya Diyana.

Menurut Norzelawati, selain kurangnya pengetahuan autisme, cabaran terbesarnya ketika itu adalah memahami dan mengendalikan ketiga-tiga anaknya kerana setiap satunya mempunyai karakter yang berbeza.

“Antara semuanya, Muhammad Danial yang paling mencabar dijaga kerana dia kerap diserang sawan sejak awal kelahiran hingga berumur empat tahun.

“Kiranya, saya perlu memberi tumpuan lebih kepadanya namun dua anak yang lain tetap tidak diabaikan memandangkan kedua-duanya perempuan dan semakin membesar.

“Dulu, mereka bertiga menetap bersama saya namun kini, Muhammad Danial dijaga bekas suami, Zamaris Zaini, 51. Berat untuk melepaskan Muhammad Danial tinggal berasingan, tetapi saya terpaksa kerana mengalami masalah cakera tulang belakang tergelincir (slipped disc) yang menyebabkan saya tidak mampu menguruskannya sendiri terutama ketika dia diserang sawan,” katanya.

Norzelawati berkata, sebelum ini, dia menyara ketiga-tiga anaknya hasil pendapatan sebagai tenaga pengajar di PDK San Peng di sini, namun terpaksa menamatkan perkhidmatan pada tahun lalu disebabkan masalah kesihatan dihadapinya.

Meskipun hilang punca pendapatan, dia bersyukur kerana mendapat bantuan zakat daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal.

“Setakat ini, saya menerima bantuan zakat sebanyak RM400 manakala anak sulung dan kedua masing-masing menerima elaun bulanan RM250 daripada JKM.

“Baitulmal pula membantu menjelaskan sewa bulanan rumah sebanyak RM240 dan saya menghargai bantuan diberi itu kerana ia sedikit sebanyak meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 6:01 AM
NORZELAWATI bersama anaknya, Nur Maya Diyana (kiri) dan Zurainis di kediaman mereka di PPR Hiliran Ampang, Jalan Ampang Putra.