Muhammad Apendy Issahak


“SAYA terkejut apabila melihat sendiri rumah didiami kanak-kanak berusia 12 tahun ini yang ternyata tidak sesuai dan tidak selamat untuk didiami individu seusianya.

“Ini bukan rumah, tapi tempat sampah yang pastinya berbahaya dengan binatang berbisa dan sebagainya,” kata Presiden Persatuan Budak Busstand Ipoh, Amiruddin Mohd Daud, sebaik meninjau rumah didiami seorang kanak-kanak yang tinggal seorang diri di Kampung Dato’ Ahmad Said, Manjoi, Selasa lalu.

Amiruddin yang dalam perjalanan pulang dari misi mencari peserta larian Gopeng Urban Trail, Mohammad Ashraf Hassan, 29, bergegas ke kampung berkenaan sebaik menerima maklumat mengenai keadaan kanak-kanak terbabit.

Katanya, kanak-kanak yang sudah tidak bersekolah dan ditinggalkan hidup sendirian selama dua minggu selepas ibunya dipercayai ditahan susulan masalah berkaitan dadah menghubunginya untuk meminta bantuan.

Amiruddin yang lebih mesra dipanggil Tok Anjang, berkata sebelum ini kenalannya yang juga bapa saudara kanak-kanak itu ada menghubunginya meminta bantuan.

“Saya meminta kenalan ini memberi alamat Mohd Firdaus untuk membantu, namun tidak mendapatnya sebelum terkejut dihubungi seorang kanak-kanak kira-kira jam 6 petang.

“Budak ini memberitahu bapa saudaranya meminta supaya hubungi saya dan tanpa berlenggah, saya terus ke Manjoi untuk melihat keadaannya.

“Ketika sampai, saya dapati dia berada bersama seorang lagi bapa saudaranya yang menetap di Chemor,” katanya.

Menurut Amiruddin, bapa saudara mangsa memberitahu beliau tidak mampu menjaga kanak-kanak itu kerana mempunyai keluarga sendiri yang perlu ditanggung.

Amiruddin berkata, dia kemudian mengambil kanak-kanak terbabit dan menempatkannya di Rumah Transit Persatuan Budak Bus Stand Ipoh di Taman Lim sebelum membawanya ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kelmarin.

“Ada pihak yang sanggup mengambil dan menjaga Mohd Firdaus sebagai anak angkat, tetapi menurut JKM perkara ini memerlukan pesetujuan ibu atau saudara terdekat kanak-kanak berkenaan.

“Buat masa ini kanak-kanak itu ditempatkan di rumah transit kami. JKM merancang menempatkan Mohd Firdaus di rumah perlindungan dan saya berharap dia dapat kembali bersekolah kelak,” katanya.

KANAK-KANAK tinggal bersendirian sejak dua minggu lalu selepas ibunya ditahan pihak berkuasa di rumah sewa Kampung Dato’ Ahmad Said, Ipoh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 6:30 AM